Masjid Bandar Diraja Klang dengan pemandangan Sungai Klang. Foto Facebook Muhammad Riduan Chik
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Klang kota dua alaf, lebih tua dari Melaka

Penempatan manusia di Klang wujud lebih awal daripada di Melaka, kota besar yang menguasai Asia Tenggara hingga dikenali dunia. Bandar di pinggir Sungai Klang itu telah berusia lebih 2,000 tahun.

Bendahara Melaka yang terkenal Tun Perak pernah diangkat pemimpin penting di Klang, ratusan tahun sebelum kesultanan Selangor diasaskan mulai 1756.
Selepas Kuala Selangor dan Jugra, Kuala Langat dijadikan ibu negeri Selangor, pusat pentadbiran berpindah ke Klang pada 1875, kira-kira setahun selepas Perang Klang berakhir.

Tidak lama kemudian, pada 1880, ibu negeri berpindah pula ke Kuala Lumpur. Namun Klang tidak hilang kepentingannya. ABDUL RAHIM SABRI merakam sejarah ringkas beberapa lokasi dan binaan penting dalam proses pembinaan bandar raya diraja Klang yang dimasyhur pada 5 Februari.

1 Pelabuhan Pengkalan Batu

Tidak jauh dari Gedung Raja Abdullah, lokasi ini pusat pentadbiran beliau termasuk perlombongan timah di sekitar Kuala Lumpur. Di pinggir Sungai Klang, di seberang Masjid Bandar Diraja, dibina Taman Awam Pengkalan Batu.

2 Jambatan Kota


Asalnya jambatan besi dua tingkat yang dibina pada 1957. Dirasmikan Sultan Hisamuddin Alam Shah pada 24 Jun 1959. Pernah dinamakan Jambatan Alam Shah, tingkat bawah dijadikan laluan beca, basikal, motosikal dan pejalan kaki. Tingkat atas pula untuk kenderaan berat.

3 Kota Raja Mahadi


Kota pertahanan yang dibina pada 1866 dalam perang saudara, juga dikenali Perang Klang, menentang Raja Abdullah dan Tengku Kudin, dua pembesar yang dekat dengan Sultan Abdul Samad. Tengku Kudin menawan kota ini dan menjadikan kediaman hingga 1898. Tinggalan kota ini kira-kira 500 meter dari Gedung Raja Abdullah.

4 Bangunan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK)

MAjlis Perbandaran Klang (MPK)

Tapak bangunan yang ada sekarang dahulunya tapak Kota Raja Mahadi. Struktur kota telah roboh, hanya tinggal pintu gerbang.
MBDK sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula sebagai Lembaga Kesihatan Klang yang ditubuhkan pada 1890. Dikenali Majlis Bandaran Klang mulai 1954, PBT ini diperluaskan pada 1971 apabila melibatkan kawasan Pelabuhan Klang, Kapar dan Meru.

5 Gedung Raja Abdullah


Dibina pada 1856 oleh Raja Abdullah Raja Jaafar sebagai kediaman dan gudang menyimpan bijih timah.
Sebagai pembesar yang mentadbir Klang dan Kuala Lumpur, beliau mengutip cukai dan memperdagangkan galian penting itu.
Dijadikan kubu pertahanan dari serangan kumpulan Raja Mahadi semasa Perang Klang pada 1867 hingga 1873.

6 Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz


Bangunan ini dibina pada 1909 bercirikan neoklasik, menjadi pejabat pentadbiran Inggeris dan tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua. Galeri ini menempatkan sejarah dan warisan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

7 Jalan Tengku Kelana
Dikenali juga “India kecil” kerana ramai peniaga etnik tersebut, kawasan membeli-belah asal yang popular sejak dahulu. Dahulu dikenali Jalan Rembau, kawasan ini dikatakan berkembang daripada tapak awal pusat bandar Klang.

8 Tokong Guan Yin


Rumah ibadat ini dibina pada 1892 dan diangkat sebagai lokasi warisan sejarah Selangor pada 2003.

9 Gereja Our Lady of Lourdes


Dibina pada 1928, seni binanya berkonsep gothik serta bermodelkan gereja di Lourdes, Perancis. Dianggap antara bangunan tertua di bandar ini.

10 Dewan Melayu Klang
Dewan Melayu Klang dibina pada 1953. Terletak di Jalan Kota Raja, tidak jauh dari Masjid Diraja Sultan Sulaiman, dewan ini pernah dijadikan lokasi pertemuan atau persembahan kebudayaan masyarakat setempat.

11 Istana Alam Shah

Islamic golden domed palace architecture of the imposing Istana Alam Shah, or Selangor Royal Palace, royal palace of the Sultan of Selangor, with the Royal flag, seen from the street outside of the manicured gardens, Klang, Malaysia

Setelah Istana Mahkota Puri (dibina 1898) tidak lagi digunakan, istana baharu dibina pada 1958 di atas tapak bukit berkeluasan 13 ekar. Seni bina hasil ilham Sultan Hisamuddin Alam Shah. Istana ini tempat semua istiadat penting berlangsung, sekali gus memberi Klang gelaran bandar raya diraja.

12 Masjid Diraja Sultan Sulaiman


Terletak di tenggara kaki bukit Istana Mahkota Puri, masjid bersempena nama sultan Selangor ke-5 dibuka pada 1934. Seni rekanya menggabungkan unsur Islam, seni bina barat dan gaya neoklasik. Tangga diraja menghubungkan masjid dengan dengan istana.

13 Kolej Islam Malaya


Ditubuhkan dengan nama Kolej Islam Malaya pada 1955 di atas tapak Istana Jemaah, bangunan yang diwakaf oleh Sultan Hishamuddin Alam Shah. Institusi pendidikan yang banyak melahirkan agamawan dan pemimpin, tapak pusat pengajian ini Kolej Islam Klang (KIK) dan kini Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas).

14 Port Swettenham

Dibuka pada 15 September 1901 bersempena nama Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu Sir Frank A Swettenham. Sebelum pelabuhan ini dibuka, kebanyakan kapal berlabuh di pinggir bandar Klang.
Pertambahan dalam perdagangan pada awal dekat 1890-an menyebabkan jeti-jeti di Sungai Kelang tidak lagi dapat menampungnya. Akhirnya Kuala Kelang dipilih untuk pembinaan pelabuhan di pinggir pantai.

15 Masjid Dato’ Dagang


Dibina pada 1876 di simpang empat Jalan Kota Raja-Jalan Bukit Jati, kira-kira 1.5 kilometer dari Masjid Diraja Sultan Sulaiman. Rumah ibadah ini antara masjid tertua di Selangor.

16 Jambatan Connaught


Jambatan keretapi pertama yang merentasi Sungai Klang. Dibom tentera Inggeris pada Januari 1942 ketika awal Perang Dunia Kedua tetapi dibuka semula pada 1946.

17 Stesen Keretapi Bukit Kuda
Landasan keretapi pertama dibina dari stesen Bukit Kuda ke Kuala Lumpur pada September 1886 sejauh kira-kira 31.4 km. Tidak jauh dari stesen ini, terbina Jambatan Connaught pada 1890 yang menghubungkan landasan ke Pelabuhan Swettenham (kini Pelabuhan Selatan).


Pengarang :