Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepas peserta Program Ehsan Fun Run @ Selangor Fruit Valley 2024 di Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor pada 2 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 800 sertai Ehsan Fun Run, lari sambil nikmati keindahan Selangor Fruit Valley

KUALA SELANGOR, 2 MAC: Lebih 800 peserta menyertai Ehsan Fun Run 2024 anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Selangor Fruit Valley di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata acara julung kali dianjurkan itu merupakan sebahagian usaha PKPS mempromosi beberapa produk serta pembaharuan di pusat berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan Dapur Ehsan dan melepas peserta Program Ehsan Fun Run @ Selangor Fruit Valley 2024 di Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor pada 2 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Tahun lepas operasi Selangor Fruit Valley mencatat keuntungan kali pertama kepada Kerajaan Negeri berjumlah RM800,000. Mungkin angkanya kecil tetapi satu permulaan yang baik kerana ladang ini sering menjadi tumpuan pengunjung terutama cuti sekolah.

“PKPS merancang pelbagai aktiviti termasuk yang sedia ada penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan. Selain itu, terbaharu bakal jadi tarikan ladang durian seluas 400 ekar dan kafe Dapur Ehsan menggunakan inovasi baru menerusi Internet of Things (IOT).

“Kita akan kemas kini semua aktiviti supaya dapat meningkatkan lagi keuntungan selain menaik taraf kemudahan seperti trem demi keselesaan pengunjung,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui pemberita selepas merasmikan acara itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Dapur Ehsan selepas melepas peserta Program Ehsan Fun Run @ Selangor Fruit Valley 2024 di Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor pada 2 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada majlis sama, Amirudin turut merasmikan kafe Dapur Ehsan, inisiatif terbaharu PKPS bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Selangor Fruit Valley.

Hadir sama EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Sementara itu, Mohamad Khairil berkata acara larian dianjurkan bertujuan memberi pengalaman baharu kepada peserta kerana mereka berpeluang berlari di ladang selain menikmati alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpul PKPS Dr Muhammad Khairil Muhamad Razi Program Ehsan Fun Run @ Selangor Fruit Valley 2024 di Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor pada 2 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sambutan diterima amat menggalakkan dan kita terpaksa menutup penyertaan kerana khuatir terlalu ramai sehingga tidak dapat mengawalnya.

“Kita akan jadikan acara ini sebagai aktiviti tahunan dan merancang untuk menambah jarak larian berbanding tahun ini lima kilometer,” katanya.

Peserta memulakan larian ketikaProgram Ehsan Fun Run @ Selangor Fruit Valley 2024 di Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor pada 2 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selangor Fruit Valley merupakan ladang buah-buahan tropika berkeluasan lebih 1,000 hektar yang mula dibuka pada 2007 sebelum dimajukan sebagai lokasi agro pelancongan pada 2017 bagi memodenkan sektor pertanian selaras wawasan PKPS.

Ladang ini mengeluarkan pelbagai hasil tanaman pilihan seperti belimbing, jambu batu, rambutan, pulasan dan betik, selain sayur-sayuran.

Pelbagai aktiviti menarik turut ditawarkan seperti menaiki trem mengelilingi ladang, memetik buah, bermain dengan arnab, memberi rusa makan dan membuat telur masin.


Pengarang :