Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan perlahan susulan orang ramai mula kembali ke ibu kota selepas bercuti sempena Aidilfitri pada 12 April 2024. Foto X LLM info trafik
AGENDANASIONAL

Aliran trafik lebuh raya utama ke ibu kota perlahan takat 9 malam

KUALA LUMPUR, 12 APR: Aliran trafik menghala ke ibu kota dilaporkan perlahan di beberapa laluan lebuh raya utama berikutan pertambahan jumlah kenderaan, hari ini.

Ia susulan orang ramai mula kembali ke ibu kota selepas bercuti di kampung sempena Aidilfitri.

Tinjauan menerusi akaun rasmi aplikasi X Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sehingga 9 malam mendapati beberapa laluan di Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) perlahan.

Di Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, trafik dilaporkan perlahan dari Kuala Kangsar ke Ipoh (Utara); Ipoh (Selatan) ke Simpang Pulai, Gua Tempurung ke Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah; Sungkai ke Slim River, persimpangan keluar Bukit Tagar dan Bukit Beruntung ke Sungai Buaya.

Trafik juga perlahan dari Kepala Batas ke Plaza Tol Hutan Kampung; Alor Setar (Selatan) ke Pendang; Pendang ke Gurun; Sungai Petani (Selatan) ke Bertam; Seberang Jaya ke Perai; Juru Auto City ke Jawi; Jawi ke R&R Gunung Semanggol dan persimpangan keluar Taiping (Utara).

Di arah utara lebuh raya sama, trafik perlahan dilaporkan dari Simpang Renggam ke Ayer Hitam; Yong Peng ke Pagoh; Pagoh ke Bukit Gambir; Bukit Gambir ke Ayer Keroh; Ayer Keroh ke Simpang Ampat dan Pedas Linggi ke Seremban, lapor Berita Harian.

Sementara itu, di LPT sehingga ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, trafik perlahan dari Sri Jaya ke Maran; Karak ke Bentong; Bentong ke Bukit Tinggi; Bukit Tinggi ke Genting Sempah dan Kilometer (KM) 30.0 arah Barat ke Plaza Tol Gombak.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMtrafik.


Pengarang :