Sukarelawan menyusun makanan tidak habis terjual melalui kempen MBSA ‘MySave Food’ di bazar Ramadan Stadium Shah Alam pada 19 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Elak bazir, MBSA kumpul lebih 7,000kg lebihan makanan di bazar Ramadan

SHAH ALAM, 5 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya mengumpul 7,176.4 kilogram lebihan makanan dan minuman di bazar Ramadan sepanjang 14 hari program bermula 14 Mac,

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan program MySave Food@Bazar Ramadan melibatkan tiga bazar Ramadan iaitu di Stadium Shah Alam Seksyen 13, Seksyen 17 dan Seksyen 19.

“Antara makanan yang banyak diterima sepanjang program adalah kuih muih, air balang, pelbagai jenis nasi, bubur, lauk pauk dan sebagainya

“Makanan dan minuman itu dikumpul di tiga lokasi bazar sebelum diagihkan kepada golongan memerlukan,” maklum pihak berkuasa tempatan itu di Facebook.

MBSA turut memaklumkan program mengumpul makanan mendapat sambutan menggalakkan daripada peniaga bazar.

“Makanan yang diterima kemudiannya diagihkan oleh para petugas kepada golongan yang memerlukan seperti pelajar institusi pengajian tinggi, surau, masjid, pangsapuri kos rendah dan sebagainya.

“Selain mengurangkan pembaziran, inisiatif ini mengurangkan penghantaran sisa makanan ke tapak pelupusan dan dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.

MBSA turut berterima kasih kepada penyumbang makanan daripada tiga bazar terlibat dan sukarelawan dari Pemuda GEMA Malaysia, Briged Sukarelawan UiTM, Jabatan Pendidikan Tinggi, Harmoni UiTM Shah Alam serta IKRAM Muda Shah Alam.

MBSA meneruskan program MySave Food@Bazar Ramadan yang diperkenal sejak tiga tahun lalu dengan mengumpul lebihan makanan tidak habis dijual di bazar Ramadan untuk diagih kepada golongan memerlukan.

Pelajar mengambil makanan yang disalurkan melalui kempen MBSA ‘MySave Food’ di Pusat Islam Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 19 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :