Kegagalan kontraktor mematuhi piawaian semasa kerja penggantian paip mengakibatkan jalan raya berlubang hingga mengancam pengguna. Foto Facebook Datuk Wira Johan Abdul Aziz
ADNSELANGOR

Projek ganti paip air: Wakil rakyat ingatkan kontraktor patuh piawaian

SHAH ALAM, 21 APRIL: Kontraktor yang mendapat projek penggantian paip air di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua diingatkan supaya melaksanakan kerja mengikut piawaian ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Wakil rakyatnya Datuk Wira Johan Abdul Aziz kecewa dengan pihak terbabit yang mengabaikan ciri keselamatan jalan raya semasa menjalankan kerja berkaitan meski beberapa kali amaran dikeluarkan.

Menerusi kenyataan di Facebook kelmarin, beliau menegaskan tindakan akan diambil terhadap kontraktor sekiranya gagal menyelesaikan isu berkenaan dengan segera.

“Saya tidak pasti ini merupakan amaran ke berapa kalinya dikeluarkan berkenaan isu kerja penggantian paip air yang nampaknya tidak diendahkan pihak kontraktor. Yang pastinya ini akan menjadi yang terakhir.

“Saya dan ahli Parlimen (Hulu Langat Mohd Sany Hamzan) akan bertindak dengan segera untuk memastikan pihak kontraktor bertanggungjawab memantau dan menyelia kerja turapan dijalankan.

“Atau saya sendiri akan mengambil tindakan terhadap sikap ketidakpedulian pihak kontraktor yang jelas mengabaikan ciri-ciri keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Pada 12 April, beliau turut meluah rasa dukacita dengan isu penggantian paip yang tidak mematuhi piawaian ditetapkan JKR semasa kerja turapan jalan walau ia sudah dibangkitkan dalam Dewan Negeri Selangor Mac lalu.

 


Pengarang :