DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) merasmikan Pelancaran Program Permata @ Pintar Antarabangsa diiringi EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail (tiga dari kiri) dan Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Ekwan Hj Toriman (tiga dari kanan) pada Program Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor peringkat daerah Hulu Langat 2024 di Pusat Permata @ Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 24 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Raja Muda lancar program PERMATA@Pintar Antarabangsa UKM

HULU LANGAT, 24 APRIL: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan melancarkan program PERMATA@Pintar Antarabangsa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Program bagi mengembangkan penawaran pendidikan pintar dan berbakat kepada pelajar antarabangsa itu dilancarkan Tengku Amir Shah sempena program Gagasan Rumpun Selangor daerah Hulu Langat.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata program itu adalah inisiatif Pusat PERMATA@Pintar Negara UKM (PPPN UKM), sebuah program khas untuk pelajar pintar dengan potensi intelek semulajadi yang tinggi.

“PERMATA@Pintar Antarabangsa melibatkan Program Asasi Pintar, Program Perkhemahan Cuti Sekolah dan Program Sekolah Pintar.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) bergambar pada Program Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor peringkat daerah Hulu Langat 2024 di Pusat Permata @ Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 24 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Setakat ini kerjasama sudah dimulakan dengan China, Oman dan Qatar,” katanya selepas majlis pelancaran di Pusat PERMATA Pintar Negara di sini, hari ini.

Mohd Ekhwan berkata Program Asasi Pintar antarabangsa dengan ambilan kira-kira 300 pelajar dijangka memulakan pengajian September ini.

“Ia bagi mengembangkan pendidikan pintar dan berbakat yang komprehensif iaitu daripada proses pencarian pelajar pintar ke program pra-universiti sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Program Perkhemahan Cuti Sekolah dan Program Sekolah Pintar pula akan ditawarkan pada Jun ini dan Februari tahun depan,” katanya.

Beliau berkata sejak 2009 PPPN UKM telah menghasilkan pelajar pintar dan berbakat yang diterima masuk ke universiti terbaik dunia dan bekerja di dalam dan luar negara.

“Anak Selangor adalah antara yang paling ramai berada di Pusat Permata Pintar ini kerana setiap tahun kami menerima jumlah permohonan yang paling tinggi dalam kalangan anak Selangor.

“Saringan UKM1 bagi anak Selangor pada tahun ini meliputi kira-kira 267,000 pelajar dan agak tinggi berbanding negeri yang lain,” katanya.

Menurutnya, kejayaan utama bagi program ini adalah membangunkan program pendidikan pintar dan berbakat yang terancang serta berstruktur merangkumi pelbagai aspek termasuk pencarian pelajar pintar di Malaysia, pembinaan kurikulum, pengurusan pentaksiran, latihan guru, program pengayaan dan penghasilan pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.


Pengarang :