SELANGOR

Sambutan KISS DUN Bukit Gasing meriah dan penuh cabaran

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 9 FEB: Sambutan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing meriah, namun penuh dengan cabaran.

Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, R Rajiv berkata, antara cabarannya adalah apabila terdapat ramai penduduk Bukit Gasing tidak menepati syarat kelayakan mendapatkan KISS.

“Di kawasan saya, ramai warga emas yang miskin tiada tanggungan bawah 21 tahun, malahan terdapat juga golongan bapa tunggal kurang pendapatan.

“Bagaimanapun, hal ini sudah saya usulkan di sidang DUN yang lepas ketika Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan berhubung program KISS ini,” katanya kepada SelangorKini.

Rajiv berkata, bagi mengelakkan golongan berkenaan rasa tersisih, maka beliau akan menggunakan Tabung Penyayang untuk membantu mereka yang tidak menepati syarat menerima KISS.

“Kami sedang bekerjasama dengan pasar raya 99 Speedmart bagi mendapatkan baucer membeli-belah dan pada hujung bulan ini ia akan mula diedarkan kepada golongan yang terpilih.

“Langkah Kerajaan Negeri mewujudkan Tabung Penyayang di setiap DUN ini saya lihat sedikit sebanyak membantu mereka yang tidak mendapat KISS, sekali gus dapat meringankan beban dengan keadaan kos sara hidup meningkat, pada masa kini,” katanya.

Pada masa sama, Rajiv menyambut baik program KISS kerana belum ada mana-mana negeri di Malaysia berupaya membuat inisiatif seperti Kerajaan Negeri lakukan itu.

“Saya amat gembira apabila Kerajaan Negeri sentiasa berusaha membantu dan menyediakan pelbagai inisiatif kepada setiap golongan daripada yang kecil hingga warga emas,” katanya.


Pengarang :