BERITA UTAMASELANGOR

Gombak, Ampang terima bantuan kemasyarakatan RM1.178 juta

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 14 APR: Sebanyak RM1.178 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri Selangor bagi tujuan keperluan agenda berkebajikan dan kemasyarakatan penduduk di kawasan Parlimen Gombak dan Ampang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembiayaan kewangan itu disalurkan bagi pelaksanaan bantuan pelbagai kos kepada agensi, persatuan penduduk dan masyarakat setempat.

Beliau berkata, bantuan turut disalurkan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO), institut keagamaan, badan sukan dan agensi setempat.

“Kalau kita boleh melaksanakan dan memberikan bantuan berterusan di Selangor, kenapa tidak di Putrajaya?

“Kalau Selangor boleh, tidak mustahil Putrajaya juga boleh,” katanya ketika berucap pada Majlis

Penyampaian Sumbangan Dato’ Menteri Besar itu berlangsung di Dewan Pangsapuri Hijau, Taman Ukay Perdana, Ampang, pagi ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin mengadakan program turun padang di dua kawasan Parlimen berkenaan yang menyaksikan inisiatif peruntukan disalurkan kepada golongan terbabit.

Bagaimanapun, katanya, komitmen itu dilaksanakan atas kapasiti tanggungjawab pentadbiran negeri yang optimis memastikan kebajikan rakyat terus mendapat pembelaan.

“Ia bukan bersifat pilihan raya kerana pentadbiran Selangor sejak awal lagi sudah bekerja kuat untuk memakmurkan negeri dan mengangkat inisiatif berkebajikan kepada rakyat negeri,” katanya.

=EZY=


Pengarang :