BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Sharafuddin gembira penjelasan MB

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berpuas hati dengan penjelasan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Istana Bukit Kayangan, kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata pihak Istana akan mengeluarkan kenyataan rasmi pada jam 9.00 pagi esok berhubung kedudukan jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor.

“Tuanku gembira dengan penjelasan tadi dan akan keluarkan kenyataan rasmi daripada istana pada jam 9.00 pagi esok,” kata Mohamed Azmin kepada media yang menunggu beliau di luar pintu pagar utama Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini.

Sebelum itu, Mohamed Azmin dilihat memasuki Istana Bukit Kayangan kira-kira jam 12.00 tengah hari tadi bagi mengadap Sultan Sharafuddin bagi menjelaskan perkembangan terkini pelantikan beliau sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat Persekutuan.

Pertemuan yang turut membincangkan pelbagai isu lain itu hanya berakhir kira-kira dua jam kemudian.

“Banyak perkara yang kita bincangkan, tentang Selangor, juga nasional dan alhamdullilah tuanku akan keluarkan satu kenyataan rasmi esok,” katanya lagi.

Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua pada 11 Mei lalu selepas Pakatan Harapan (PAKATAN) menang besar di negeri itu.

Bagaimanapun pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan senarai Menteri Kabinetnya pada Jumaat lalu turut melantik Mohamed Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

=EZY=


Pengarang :