BERITA UTAMASELANGOR

Lantikan Ahli Majlis baru dijangka selesai minggu depan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 JUL: Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dijangka dapat diselesaikan minggu hadapan, kata Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Beliau berkata, pelantikan membabitkan hampir 300 Ahli Majlis itu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan wanita.

“Hari ini juga kita dah muktamadkan senarai Ahli Majlis seluruh Selangor dan saya jangkakan minggu depan atau paling lewat dua minggu kita dapat selesaikan semua lantikan Ahli Majlis PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum, Nota Persefahaman dan Kenyataan Bersama Yayasan Raja Muda Selangor, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Next Academy dan Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) di sini, hari ini.

Ketika menyentuh isu kekosongan Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis selepas penyandangnya, Allahyarham Shuhaimi Shafie meninggal dunia pula, Amirudin memberitahu beliau akan memberi nama calon kerusi terbabit kepada kepimpinan tertinggi parti.

Amirudin berkata, walaupun beliau akan menghantar nama pilihannya tetapi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan mengadakan perbincangan bagi memastikan keputusan terbaik untuk parti.

Bagaimanapun katanya, apa yang lebih penting adalah memastikan perkhimatan untuk rakyat di DUN Sungai Kandis dapat diteruskan seperti biasa.

“Apa yang pentingnya kita tidak lupakan perkhidmatan di Sungai Kandis. Menjelang minggu depan saya akan umumkan beberapa keputusan untuk memastika perkhidmatan diteruskan seperti mana sebelum ini,” katanya lagi.


Pengarang :