SELANGOR

Lebih 5,000 banjiri rumah terbuka DUN Jeram

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUNCAK ALAM, 8 JUL: Meriah dan penuh riang, itulah suasana dapat digambarkan apabila lebih 5,000 tetamu menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Jeram, di Perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM), di sini, semalam.

Tinjauan SelangorKini mendapati, kebanjiran orang ramai daripada pelbagai etnik ternyata menterjemahkan sokongan tinggi terhadap wakil rakyat kawasan berkenaan

Ahli Dewan Negeri (ADN) Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, program itu sebagai tanda penghargaan kepada rakyat yang sentiasa memberi komitmen penuh dalam menyokong pentadbiran Kerajaan PAKATAN.

“Sambutan yang sememangnya di luar jangkaan kerana orang ramai dari hampir keseluruhan kampung di kawasan ini datang untuk menyerikan majlis.

“Kunjungan masyarakat berbeza kaum juga menggambarkan betapa utuhnya semangat perpaduan di negeri ini.

“Saya berasa terharu atas kesanggupan mereka yang hadir walaupun ada yang tinggal jauh dari sini,” katanya ketika ditemui.

Beliau yang mengenakan baju melayu lengkap bersampin, kelihatan ceria melayan kunjungan dan tidak ketinggalan meluangkan masa berjabat tangan bersama hadirin di rumah terbuka itu.

Antara lain yang hadir adalah, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Ahli Parlimen Kuala Selangor merangkap Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad.

Sementara itu, sebanyak 13 gerai dengan pelbagai juadah disediakan antaranya char kuey tiaw, cakoi, keropok lekor, roti john leleh, laksa dan hidangan pencuci mulut iaitu aiskrim.

Selain dijamu dengan pelbagai hidangan, hadirin juga digamatkan dengan persembahan nyanyian.


Pengarang :