SELANGOR

Perpustakaan baru Taman Mawar bakal dibuka

OLEH NADIAH ZAMLUS

CHERAS, 31 OKT: Perpustakaan baru yang bakal dibuka di Taman Mawar, di sini dijangka membantu golongan belia dari keluarga kurang berkemampuan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai, Bryan Lai berkata, cadangan pembinaan perpustakaan itu adalah idea asal bekas ADN Teratai, Tiew Way King dan disokong ADN Kuala Kubu Baru, Lee Kee Hiong.

Katanya, perpustakaan yang akan dilancarkan tidak lama lagi itu turut mengalu-alukan pelajar sekolah untuk datang menyiapkan kerja sekolah masing-masing.

“Saya juga berharap supaya perhentian bas akan dibina berdekatan bagi membolehkan orang awam lebih mudah ke perpustakaan ini.

“Antara perkara baru yang akan kita tambah baik ialah talian internet tanpa wayar kerana ia masih lagi lemah setakat ini,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Perpustakaan Taman Mawar, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhammad berkata, pembinaan perpustakaan itu dianggap penting bagi membolehkan kanak-kanak di kawasan sekitarnya mempunyai tingkah laku sosial yang lebih baik.

Katanya, pada masa sama ia membantu kanak-kanak lebih bersemangat untuk belajar sekali gus membuatkan perkembangan diri bertambah baik.

“Kami turut mengalukan orang ramai yang mahu mendermakan buku lama kepada kepada perpustakaan ini, dan mereka boleh terus datang ke Jalan Bunga Cempaka 5a, Taman Mawar di Cheras.

“Perpustakaan ini dijangka dibuka dari jam 9.30 pagi hingga 6 petang setiap hari,” katanya.


Pengarang :