SELANGOR

Kerajaan Negeri komited cari jalan selesai isu runtuhan Pangsapuri Permai

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 NOV: Masalah mendapan dan rekahan jalan di Pangsapuri Permai, PJU3, Petaling Jaya akan dibincangkan ke dalam Mesyuarat Exco esok untuk tindakan susulan.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, Kerajaan Negeri akan mencari penyelesaian segera dan memastikan keselamatan penduduk sekitar terjamin serta meminta pemaju supaya bertanggungjawab terhadap isu berkenaan.

“Kita lihat keadaan semakin teruk dan tidak tahu berapa lama ia akan bertahan. Pemaju tidak boleh lepas tangan kerana soal tanggungjawab tiada had tempoh.

“Pada masa sama, saya akan berbincang dengan Pegawai Kewangan Negeri bagi mencari penyelesaian serta mendapatkan pandangan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Sabak Bernam esok,” katanya selepas melawat tapak kejadian.

Sebelum ini, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin sudah bertemu penduduk bagi mendengar masalah itu.

Difahamkan, benteng pangsapuri 10 tingkat yang mula dibuka 13 tahun lalu runtuh sejak 30 Mei lalu.

Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk setempat selain pernah mengakibatkan kerosakkan pada kenderaan penduduk.


Pengarang :