NASIONAL

Zuraida bangga wanita dipilih Ketua Cabang

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 NOV: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin menyambut baik pembabitan wanita yang menawarkan diri bertanding, pada pemilihan parti itu, baru-baru ini.

Katanya, lebih membanggakan apabila 17 wanita berjaya memenangi jawatan sebagai Ketua Cabang, di Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak.

“Saya bangga melihat mereka yang menjadi Ketua Cabang. Begitu juga saya melihat banyak muka baru dan wanita muda menawarkan diri untuk memberi khidmat pada parti.

“Justeru, saya meminta kepada Ketua Wanita yang baharu nanti supaya memastikan wanita muda diberikan tugas dalam pimpinan pusat akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan AMK dan Wanita 2018, di IDCC, di sini.

Pada masa sama, Zuraida mengingatkan kepimpinan yang baharu itu dapat memikul tanggungjawab dengan amanah dan mengukuhkan parti itu.

Katanya, hal itu kerana KEADILAN bukan lagi pembangkang tetapi kini sebagai pemerintah negara.

“Oleh itu, kita perlu bersama dengan persekutuan dalam apa juga tindakan dan tanggungjawab dilakukan.

“Kepada Ketua Wanita yang baharu saya ucapkan syabas, moga teruskan legasi mencungkil nama disegani parti dan terus muafakat serta melaksanakan reformasi,” katanya.


Pengarang :