SELANGORSENI

Isu dera kanak-kanak cetus inspirasi hasil karya

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 27 JAN: Isu penderaan tragis membabitkan kanak-kanak di negara ini menyuntik inspirasi kepada Anasuha Suhairi menghasilkan karya lukisan sepanjang menyertai Program Residensi Rumah Seni Selangor (RUSSEL).

Mengetengahkan tema ‘RASA’ sebagai tajuk siri untuk keseluruhan karya, Anasuha turut berkarya menggunakan gambar diolah dengan menggabungkan gambar bantuan lain menjadi satu gambar.

Katanya, beliau cenderung merujuk kepada foto bertemakan perasaan dan suasana sekeliling memandangkan perasaan itu penting serta diperlukan semua orang.

“Saya suka memerhati, mengkaji dan menilai, malahan pengamatan saya akan menjadi lebih teliti apabila meneliti imej yang dekat dengan saya seterusnya menterjemahkan rasa hubungan itu pada kanvas.

“Tidak semestinya isu tetapi apabila saya melihat perwatakan seseorang itu, ia secara tidak langsung memberi inspirasi kepada saya,” katanya kepada SelangorKini yang ditemui pada Pameran Seni Lukis ‘Akar’, di RUSSEL, di sini, semalam.

AKAR yang berlangsung sejak 14 Januari hingga 14 Februari ini turut menampilkan beberapa penggiat seni lukisan lain seperti Arina Kiswantoh dan Mat Ramli Mansor.

Pengisian program memfokuskan kepada pembabitan komuniti seperti bengkel seni halus dan seni kraf, forum seni serta pameran.

Pensyarah Program Seni Halus Universiti Teknologi Mara Machang, Kelantan berusia 28 tahun itu berkata, daripada segi bahantara karya, beliau banyak menggunakan konsep tradisional iaitu medium cat minyak dan akrilik atas kanvas.

Katanya, teknik digunakan untuk mendapatkan bentuk subjek pada peringkat awal karya ialah ‘glazing’ dan ‘scumbling’.

“Saya merakam proses percubaan teknik daripada bentuk realis kepada semi realis.

“Ini adalah suatu anjakan keberanian saya dalam meneroka teknik di luar kebiasaan kerana seorang artis perlu sentiasa mencuba teknik baharu dan berani daripada teknik yang biasa digunakan. Ini adalah ‘RASA’ sebenar saya sebagai pengkarya,” katanya.

Pada masa sama katanya, RUSSEL memberi peluang kepada penggiat seni untuk berkumpul dan menjalankan aktiviti bercorak formal atau santai.

“Selama tempoh enam bulan di sini, RUSSEL menyediakan studio kepada kami untuk bekerja dan elaun.

“Seperti pekerja biasa, saya akan menggunakan studio ini untuk melukis atau apa sahaja berdasarkan jadual proses hasil kerja,” katanya.

 


Pengarang :