PUTRAJAYA, 2 Jan — Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik beramah mesra bersama para murid Tahun Satu ketika melakukan tinjauan hari pertama sesi persekolahan 2019 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1) hari ini. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONALPENDIDIKAN

Tiada lambakan pelajar di sekolah harian

PUTRAJAYA, 2 JAN: Dasar kerajaan yang memberi keutamaan penempatan golongan kumpulan berpendapatan rendah (B40) di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tidak akan menyebabkan lambakan pelajar di sekolah harian biasa.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kerajaan memutuskan untuk mengembalikan semula semangat SBP dengan membantu pelajar berpotensi golongan B40 selari dasar kerajaan baharu untuk menyediakan kemudahan pendidikan berkualiti.

“Perkara ini tidak menjadi isu kerana setiap sekolah mempunyai kuota kemasukan masing-masing,” katanya selepas mengadakan tinjauan hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 14 (1) di sini, hari ini.

Seramai 465,411 murid Tahun Satu dan kira-kira 4.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah mendaftar pada sesi persekolahan 2019 di seluruh negara.

Pada Disember lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan sehingga 60 peratus daripada keseluruhan penempatan di SBP diperuntukkan kepada pelajar dalam kalangan golongan B40 bagi sesi persekolahan 2019.

Kementerian itu berkata, tawaran ke tingkatan satu di SBP bagaimanapun mengambil kira beberapa faktor lain seperti pemilihan sekolah oleh pemohon, kapasiti enrolmen sesebuah sekolah, jantina dan lokaliti pemohon.

Maszlee berkata, penempatan itu bukan sekadar kepada B40 semata-mata tetapi juga menumpukan kepada golongan miskin kota.

“Seperti anak anggota beruniform yang berpangkat rendah kita beri peluang kepada anak mereka (yang layak) untuk bersekolah di asrama penuh seterusnya dapat tingkatkan ekonomi apabila mereka berjaya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkeyakinan pelajar cemerlang akan sentiasa berjaya di mana-mana sekolah walaupun tidak mendapat tempat di SBP.

“Mengikut pengalaman, saya lihat pelajar cemerlang walaupun di sekolah kampung (luar bandar), pun akan cemerlang dengan berkat didikan guru dan ibu bapa,” katanya.

Ditanya sama ada Kementerian Pendidikan bercadang menyelaraskan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), beliau berkata, pihaknya tidak bercadang berbuat demikian namun mengharapkan PIBG mengadakan perbincangan sebelum menetapkan yuran itu.

*Sumber: BERNAMA

 


Pengarang :