rpt
PBTSELANGOR

MPSJ bakal pindahkan penjaja haram ke kawasan khas

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUCHONG, 26 MAC: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan memindahkan lebih 50 penjaja haram ke suatu kawasan perniagaan khas yang strategik.

Timbalan Yang Dipertuanya, Mohd Zulkarnain Che Ali berkata, suatu operasi akan diadakan terhadap penjaja haram dan memindahkan mereka ke suatu kawasan di Puchong Permai.

“Kita akan adakan operasi pindahkan penjaja haram ke kawasan strategik yang sudah diturap baik supaya mereka boleh jalankan perniagaan dengan lebih teratur.

“Kawasan itu sudah siap di Puchong Permai dan tunggu masa sahaja untuk masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Operasi Bersepadu Tindakan Perobohan Struktur Tambahan MPSJ, di Taman Puchong Permai, di sini.

Sementara itu, MPSJ turut menjalankan operasi meroboh struktur tambahan tanpa izin di kiosk MPSJ di Puchong Permai dan Puchong Perdana.

Bercakap mengenai isu kebersihan di kawasan perniagaan, Zulkarnain berkata, pelanggan juga dinasihatkan supaya tidak pergi membeli ke kedai yang kotor.

“Kita juga harap peniaga sediakan makanan dengan bersih, supaya senang kita promosi pada orang ramai. Tiada guna sedap jika kotor,” katanya.


Pengarang :