Kes SRC: Pembelaan fail notis usul mahu batal pertuduhan Najib | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Kes SRC: Pembelaan fail notis usul mahu batal pertuduhan Najib

KUALA LUMPUR, 9 APR: Pihak pembelaan yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd memfailkan notis usul supaya tujuh pertuduhan yang dihadapi Najib dibatalkan atas alasan ia cacat.

Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed berkata, pihaknya telah menerima notis usul berserta afidavit berhubung perkara itu pagi tadi.

“Pihak pendakwaan akan memfailkan afidavit balasan pada 15 April dan pembelaan akan menjawab pada 19 April. Kedua-dua pihak juga perlu memfailkan hujahan masing-masing pada 22 April,” katanya kepada pemberita selepas prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyudin Mohmad Som, di sini.


Budiman Lutfi bagaimanapun berkata, tarikh pendengaran bagi notis usul itu belum ditetapkan lagi, berkemungkinan antara 22 dan 26 April ini.

Pada prosiding hari ini, Najib diwakili peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

Dalam notis usul yang difailkan pada 3 April lepas, Najib memohon supaya tujuh pertuduhan terhadapnya digantung atau dibatalkan atas alasan pertuduhan itu adalah satu daripada penyalahgunaan proses mahkamah dan cacat dari segi bentuk dan isi pertuduhan.

Pada 3 April lepas, pada hari pertama perbicaraan kes itu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa pihak pembelaan mahu memfailkan notis usul supaya tujuh pertuduhan terhadap Najib dibatalkan atas alasan ia cacat.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram atas dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan kes itu akan bersambung 15 April ini.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next