SELANGOR

Tuala wanita Flowra bakal masuki pasaran Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 APR: Bio Integrasi Global Sdn Bhd (Bio Integrasi Global) berhasrat untuk menguasai pasaran sekitar lima peratus bagi tempoh lima bulan menerusi produk tuala wanita iaitu Flowra yang akan mula dijual di Malaysia bulan hadapan.

Tuala wanita yang menggunakan buluh sebagai bahan asas menerusi teknologi tinggi China ini menawarkan kelebihan penyerapan bau dengan penggunaan bahan kimia pada kadar rendah dan dibenarkan selain selesa mengikut fizikal tubuh pemakai.

Pegawai Eksekutifnya, Datuk Paduka Shahrizal Sarip berkata, pihaknya mendapat maklum balas positif mengenai penghasilan Flowra selepas mula melakukan kajian sejak tiga tahun lalu.

“Produk ini kita ambil di China dan mempunyai kontrak selama tiga tahun sebelum membuka kilang di Malaysia menggunakan teknologi mereka. Produk ini memang kita cuba dan mendapat reaksi positif sekitar 90 peratus daripada golongan wanita.

“Kalau tuala wanita lama, (pemakai) kena alihkan badan mereka tetapi yang ini (Flowra) akan mengikut fizikal (tubuh). Tuala wanita ini mempunyai jalinan benang yang meresap darah lebih dalam terutama apabila haid hari pertama.

“Kita punya teknologi dari China ia meresap lebih dalam seolah-olah haid wanita nampak sedikit.” katanya ketika ditemui pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2019) yang berlangsung di di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Produk keluaran Bio Integrasi Global ini mendapat status pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diserahkan Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia Jakim, Dr. Sirajuddin Suhaimee, semalam.

Shahrizal bersama rakan niaga yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Bio Integrasi Global, David Cheng mula meneroka industri produk halal bagi mengenali prospek sesuai untuk kegunaan umum sejak tiga tahun lalu menerusi pelaburan lebih RM3 juta setakat ini.

“Sejak tiga tahun lalu, saya dengan David Cheng telah melawat Taiwan, Thailand, China dan Jepun untuk merealisasikan hasrat kami.

“Selepas membuat penelitian, hanya China dan Jepun menawarkan teknologi yang sesuai dengan idea kami.

“Malangnya, Jepun menawarkan harga yang lebih tinggi sekitar 30 peratus berbanding China tetapi teknologi mereka boleh dibawa terus ke Malaysia. Berbanding China, harga teknologi lebih murah tetapi kita perlu mengikat kontrak selama tiga tahun untuk kita pelajari sebelum ia dibawa ke Malaysia,” katanya.

Menyentuh soal tuala wanita Flowra yang sudah mendapat status halal, Shahrizal berkata, pihaknya akan memberikan penerangan kepada umum mengenai konsep halal yang dibangunkan kerana selama ini masyarakat melihat perkataan ‘halal’ lebih menjurus kepada produk makanan.

Katanya, reaksi positif daripada golongan bukan muslim juga sangat membantu mereka untuk menambah baik mutu tuala wanita dikeluarkan sepanjang tujuh bulan pertama tempoh bancian terhadap pengguna.

“Itu satu cabaran yang perlu kita tangani bersama untuk menerangkan konsep halal sebenar. Sebelum ini, orang mengatakan isu halal lebih kepada makanan.

“Sebenarnya halal ini terbuka luas contohnya cara pembuatan, bahan di diperolehi. Bahan itu mungkin kita nampak macam halal tetapi perlu dapatkan kepastian sumber. Itu yang perlu kita tekankan ‘Apa itu halal?’.

“Kami juga perlu tekankan mengapa tuala wanita ini perlu mendapatkan sijil halal. Itu satu cabaran kepada kami. Menerusi kerjasama dengan JAKIM, kita akan buat penerangan selum masuk dalam pasaran,” katanya.

Untuk peringkat awal, Bio Integrasi Global akan memasarkan Flowra Soft Touch dan Flowra Flexi Fit yang akan dijual pada harga RM4 hingga RM7.


Pengarang :