Mesyuarat Kabinet khas tingkat peluang kerja belia | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Mesyuarat Kabinet khas tingkat peluang kerja belia

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Kerajaan mengadakan mesyuarat Kabinet khas untuk membincangkan usaha mewujudkan peluang pekerjaan dan persekitaran ekonomi baik, khusus bagi menangani masalah berkaitan pengangguran dalam kalangan belia.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, beberapa perkara dibangkitkan dalam mesyuarat itu, terutama berkaitan usaha kerajaan mewujudkan negara keusahawanan dan menerapkan budaya usahawan dalam kalangan belia.

“Tindakan dan dasar dibincangkan bagi menghasilkan suasana ekonomi lebih stabil dengan rakyat boleh terbabit melalui peluang pekerjaan dalam bidang keusahawanan yang bakal diwujudkan.


“Kerajaan akan terus menghulurkan bantuan kepada belia dalam usaha memperkasa mereka dalam pelbagai bidang keperluan serta memastikan agenda mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada mereka dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang Pertama 2019, di sini hari ini.

Sidang pertama MPBN hari ini menyaksikan 120 peserta daripada badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan di bawah Wilayah Persekutuan, membentang dan membahas enam usul utama.

Antara usul yang dibentangkan ialah mewujudkan satu unit Hal Ehwal Belia di bawah kuasa Menteri Wilayah Persekutuan, melantik belia sebagai Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan mencadangkan Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) menjadi rakan strategik dalam pengurusan fasiliti di Parlimen.

-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next