NASIONAL

Dua syarikat mengaku cuai sebabkan kemalangan pekerja

IPOH, 3 JUN: Dua syarikat pembinaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana cuai sehingga mengakibatkan kemalangan kepada pekerja masing-masing, tahun lepas.

Teoh Kim Kuan selaku Pengarah Tunas Gemilang TKK Enterprise, manakala Ng Wai Choo yang merupakan Pengarah Syarikat WIM Automation Jig & Moulding Sdn Bhd membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan hakim S. Indra Nehru.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Tunas Gemilang TKK Enterprise didakwa gagal memastikan setiap lubang pit pada tingkat bekerja ditutup rapat atau dipagar dengan kukuh untuk menghalang orang terjatuh sehingga menyebabkan seorang pekerja asing, Sajib Ahmmud Dulal maut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tapak projek pembinaan apartmen 35 tingkat di Sitiawan, Manjung kira-kira pukul 3.30 petang, 24 Disember 2018.

Syarikat berkenaan didakwa mengikut Seksyen 10(e), Akta Kilang dan Jentera 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 51(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Syarikat WIM Automation Jig & Moulding Sdn Bhd dituduh gagal mengadakan prosedur kerja selamat bagi aktiviti memindahkan acuan dari rak simpanan ke ‘stamping machine’ sehingga menyebabkan kemalangan kepada pekerja warga asing Chan Myae Aung.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kawasan Perindustrian RIMA, Lahat di sini kira-kira pukul 10.15 pagi pada 28 Ogos 2018.

Bagi kesalahan tersebut, syarikat berkenaan didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 19 akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Hanisah Ahmad, manakala kedua-dua syarikat tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 18 Jun depan sebagai tarikh jatuh hukum. – BERNAMA


Pengarang :