AGENSISELANGOR

Insiden Sungai Kim Kim peringatan kepada semua

SHAH ALAM, 25 JULAI: Insiden pencemaran di Sungai Kim Kim yang menjejaskan kesihatan pelajar sekolah di Pasir Gudang menjadi peringatan terhadap kepentingan kawalan pencemaran udara yang efisien dan berkesan.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Shafe’ee Yasin berkata, langkah itu bukan sahaja perlu dititikberatkan pihak industri tetapi turut membabitkan masyarakat.

“Masyarakat perlu berperanan sebagai mata dan telinga dalam usaha membanteras jenayah alam sekitar serta segera melaporkan kepada JAS atau agensi lain jika terdapat salah laku yang menyumbang kepada pencemaran.

“Keadaan semasa di Pasir Gudang adalah suatu peringatan untuk kita semua betapa kawalan pencemaran udara yang efisien dan berkesan sangat mustahak serta perlu dititikberatkan.

“Ini lebih-lebih lagi jika kawasan industri, sekolah dan komuniti berada di dalam satu kawasan yang sama,” katanya pada perasmian Hari Alam Sekitar Sedunia peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan Seksyen 27, di sini.

Pada masa sama, Shafe’ee berkata, antara objektif utama sambutan itu adalah meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat berhubung tanggungjawab pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar, sekali gus menjadikannya satu budaya.

Selain itu, katanya, ia bertujuan menggalakkan pembabitan orang awam khususnya pelajar sekolah dalam program pemuliharaan alam sekitar selaras matlamat Hari Alam Sekitar Sedunia 2019.

“JAS juga mahu menggalakkan hubungan dan kerjasama baik ‘Engagement Concept’ pegawai kami dengan peserta serta agensi lain yang mengambil bahagian juga pihak syarikat yang menjalinkan kerjasama dalam mempromosikan kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Hari Alam Sekitar Sedunia 2019 bertemakan ‘Beat Air Pollution’ disambut pada 5 Jun setiap tahun bermula 1972.

Tahun ini, slogan yang ditetapkan United Nations Environment Program (UNEP) itu membawa pesanan jelas kepada semua pihak dan individu supaya memainkan peranan dalam memastikan dunia menjadi lebih sihat dan baik untuk didiami.


Pengarang :