AGENDANASIONAL

Jerebu tidak jejas projek LRT3

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Jerebu yang sedang melanda negara ketika ini dijangka tidak menjejaskan kemajuan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Dalam hal ini, MRCB George Kent Sdn Bhd (MRCBGK), syarikat yang mengendalikan usaha itu telah mengambil langkah bagi memastikan semua pekerja di tapak pembinaan dilindungi dengan topeng pernafasan N95.

Pengarah Projek, Patrick Hwang Chee Leong berkata, pihaknya menambah pengagihan topeng N95 yang baharu kepada pekerja pada setiap hari, untuk melindungi mereka daripada menyedut partikel udara berbahaya.

MRCBGK turut memantau Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan jika bacaan naik kepada 160 atau lebih, aktiviti pembinaan luar akan dikurangkan.

“Selain daripada menyediakan pekerja kami dengan air botol tambahan dan menggalakkan mereka untuk minum lebih banyak bagi membersihkan toksin, kami juga membuat pemeriksaan kesihatan terhadap mereka,” katanya kepada Bernama.

Langkah tersebut adalah selaras dengan pengawasan kesihatan projek LRT3 serta Garis Panduan Untuk Perlindungan Pekerja ke atas Kesan Jerebu di Tempat Kerja Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

MRCB George Kent adalah sebuah syarikat usaha sama antara Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dengan George Kent (M) Bhd untuk melaksanakan projek LRT3.

MRCB pada masa sekarang merupakan pemaju dan kontraktor terbesar pembangunan berorientasikan pengangkutan di negara ini, manakala George Kent adalah sebuah syarikat kejuruteraan terkemuka dan pakar sistem kereta api tanah air.

– BERNAMA


Pengarang :