Rektor KUIS, Dato’ Dr Ab. Halim Tamuri menyampaikan cenderamata kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari seusai Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-22 di Bangi, pada 7 September 2019. – Foto ASRI SAPFIE/ SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Jaringan hubungan dalam dan luar negara kukuhkan KUIS

BANGI, 7 SEPT: Jaringan perhubungan pelbagai agensi dalam dan luar negara mampu memperkukuhkan kedudukan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam disegani serta terkemuka dunia.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, KUIS kini terus berkembang dan bersaing dengan universiti tempatan serta antarabangsa dalam seminar, penyelidikan juga penerbitan.

Katanya, peningkatan mutu akademik dalam pelbagai bidang serta penyelidikan itu mampu memberikan ‘contribution of knowledge’ kepada pembangunan semasa KUIS dan masyarakat yang dahagakan ilmu Islam.

“Dalam tempoh hampir 25 tahun penubuhannya, KUIS berjaya membuktikan kepada awam kemampun bersaing dengan institusi pengajian tinggi lain serta sentiasa bergerak seiring dengan arus pembangunan negeri yang pesat membangun.

“Kejayaan sebegini memperkukuhkan keyakinan umat Islam di Selangor bahawa KUIS berupaya memenuhi keperluan pelajarnya bagi mempersiapkan diri mereka untuk berada di pasaran pekerjaan dan juga mampu mendepani cabaran masa hadapan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyampaikan skrol kepada graduan dalam Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-22 di Bangi, pada 7 September 2019. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian di Majlis Konvokesyen KUIS kali ke 22, di Pusat Konvensyen KUIS, di sini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha KUIS dalam memartabatkan Islam sebagai sebuah institusi ilmu yang menyumbang kepada perkembangan tamadun Islam masa kini.

“Bermula dengan hanya 45 pelajar, kini KUIS mempunyai seramai 9,000 pelajar dalam pelbagai bidang bermula dari peringkat Asasi sehingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah.

“Saya doakan semoga KUIS terus cemerlang dan mencapai taraf Universiti Penuh dan menjadi Universiti Wakaf pertama di Selangor sebagai pelopor ketamadunan Islam dan menjadi sumber rujukan utama di dunia.

“Teruskan usaha KUIS dalam melahirkan para da’i, ulama dan umara yang bakal memimpin umat manusia berteraskan al-Quran dan as-Sunnah demi kedaulatan Islam dan kemaslahatan ummah sejagat,” katanya.

Kemeriahan suasana di Pusat Konvensyen ketika Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-22 di Bangi, pada 7 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pada Majlis Konvokesyen kali ini, seramai 2,338 graduan dianugerahkan Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah masing-masing.

Majlis penuh gemilang itu diadakan selama tiga hari bermula semalam hingga Ahad nanti.


Pengarang :