Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Datuk Mohd Azizi Mohd Zain (kanan) memeluk mangsa yang juga kakitangan PKNS Bakhtiar Effendi Hamzah (dua, kiri) sebaik sahaja tiba di Bangunan Ibu Pejabat PKNS Seksyen 14 pada 21 Oktober 2019. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kakitangan PKNS pilu kenang rakan terbabit kemalangan di Turki

SHAH ALAM, 22 OKT: Suasana pilu menyelubungi Kompleks Ibu Pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 14 di sini setibanya kumpulan 26 kakitangan perbadanan itu bersama pasangan masing-masing yang terselamat dalam kemalangan jalan raya di Turki pada Rabu lepas.

Terdahulu, kumpulan terbabit tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Turki kira-kira pukul 10 pagi dan kemudian dibawa menaiki bas perbadanan tersebut ke ibu pejabat berkenaan.

Ketibaan kumpulan tersebut kira-kira pukul 12.45 tengah hari disambut Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mohd Azizi Mohd Zain, barisan pentadbiran dan warga kerja PKNS serta ahli keluarga kakitangan terlibat diikuti bacaan doa selamat oleh wakil perbadanan berkenaan.

Bagaimanapun, enam lagi kakitangan PKNS yang mengalami kecederaan dijadual tiba di tanah air malam tadi.

Tinjauan Bernama mendapati, walaupun kepulangan kumpulan kakitangan itu disambut dengan linangan air mata ahli keluarga serta rakan sekerja, namun terpancar rasa lega kerana mereka akhirnya pulang ke tanah air dalam keadaan selamat.

Dalam kemalangan pada Rabu lepas, seorang warga PKNS maut manakala 10 lagi cedera apabila bas pelancong dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbalik ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia.

Jenazah kakitangan yang maut, Azalan Miswan, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini pada malam Sabtu lepas.

Menceritakan mengenai kemalangan bas berkenaan, ketua rombongan, Hasama Ali, 58, berkata insiden berlaku dengan pantas dan apa yang diingatinya hanyalah bas itu meluncur laju ke kiri dan kanan sebelum terbalik.

“Sebelum kejadian, kami dengar ada bunyi sesuatu di bahagian belakang bas dan beritahu kepada pemandu. Kemudian, dia memberhentikan bas di sebuah stesen minyak untuk memeriksa tayar belakang. Katanya, semua okay maka perjalanan diteruskan ke lokasi yang dituju.

“Ketika kami semua sedang berehat di dalam bas dan ada yang berborak, tiba-tiba saja saya rasa bas meluncur ke kiri ke kanan. Bas telah hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik berdekatan kawasan berbukit dan parit. Kejadian sangat pantas. Yang saya ingat, saya nampak jalan raya kemudian nampak rumput saja,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan parah, Hasama berkata beliau segera membantu rakan-rakan untuk keluar dari bas berkenaan dan terus memeriksa mereka satu per satu.

Namun katanya, ketika mencari Azalan yang duduk di kerusi paling hadapan bas, beliau melihat susuk tubuh itu tersepit dan diberitahu oleh rakan-rakan lain bahawa dia sudah meninggal dunia.

“Ambulans juga sampai dengan cepat dan ramai orang awam membantu. Saya tidak dapat menggambarkan perasaan saya masa melihat sendiri kemalangan itu berlaku. Ia meragut nyawa seorang sahabat yang amat disenangi semua warga PKNS. Arwah amat baik dan suka membantu,” katanya sambil mengesat air mata.

Seorang lagi ahli rombongan tersebut, Mohd Fahmy Baharudin, 39, memberitahu beliau yang duduk di kerusi paling belakang bas turut mendengar ‘bunyi’ dan mengesyaki ada sesuatu ‘tak kena’ namun disebabkan pemandu telah memeriksanya, ia tidak menimbulkan kesangsian.

“Selepas pemandu periksa bas tersebut dan memulakan kembali perjalanan, saya masih dapat dengar ada bunyi macam ‘besi berlaga’. Tak sampai berapa minit pun bas bergerak, ia terus hilang kawalan dan meluncur ke kiri dan kanan sebelum terbabas dan terbalik,” katanya yang mengalami kecederaan pada tangan kiri akibat kemalangan tersebut.

Katanya, beliau sedar ketika kemalangan itu berlaku dan melihat sendiri rakan-rakan menjerit semasa bas meluncur ke kiri dan kanan malah ada yang melaungkan takbir kerana amat cemas.

Walaupun bersyukur kemalangan itu tidak mendatangkan kecederaan parah padanya, namun beliau berkata kejadian itu tidak dapat dilupakan kerana melihat sendiri bagaimana ia meragut nyawa rakannya.

Sementara itu, Mohd Azizi menyifatkan kehilangan Azalan amat dirasai oleh warga kerja PKNS kerana beliau merupakan kakitangan yang rajin dan amat dedikasi kerana suka membantu rakan-rakannya.

“Kita akan salurkan bantuan kewangan kepada keluarga arwah bagi meringankan beban mereka yang tiba-tiba kehilangan punca utama pendapatan. Saya nasihatkan kesemua kakitangan yang terlibat dalam kemalangan itu supaya berehat dahulu dan tenangkan fikiran. Yang cedera, kita akan hantar mereka sambung rawatan di hospital di sini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :