AGENSISELANGOR

LZS perlu cari kaedah bantu asnaf keluar daripada kemiskinan

SHAH ALAM, 23 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) supaya mencari kaedah bagi membantu asnaf atau penerima zakat untuk berusaha menambah pendapatan dan keluar daripada garis kemiskinan.

Baginda bertitah LZS perlu membantu golongan asnaf sehingga berjaya menaikkan taraf ekonomi sendiri sebagai seorang usahawan yang mampu mengeluarkan zakat perniagaan.

“Mengikut kajian Universiti Teknologi MARA, keperluan bantuan zakat kepada golongan asnaf di Selangor pada 2017 dan akan datang terus bertambah kerana penambahan penduduk serta keluarga yang kurang berkemampuan.

“Fenomena ini ekoran daripada perpindahan penduduk ke Selangor kerana mencari kerja atau bekerja di sektor yang mempunyai upah rendah.

“Krisis ekonomi dan penambahan kadar pengangguran serta kenaikan harga barang akan menyumbang kepada peningkatan hutang isi rumah yang boleh menyebabkan bertambahnya jumlah asnaf atau orang miskin di Selangor,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Round Table Khas Syarikat Korporat Bersama DYMM Sultan Selangor anjuran LZS yang berlangsung secara tertutup di Hotel Concorde, hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah dengan adanya pembayaran zakat dari syarikat korporat di Selangor, ia boleh menambah kutipan dan agihan zakat kepada mereka yang layak.

Baginda turut mengingatkan agensi atau individu yang berurusan dengan LZS supaya tidak menyalahgunakan wang zakat dan sentiasa jujur dalam setiap urusan.

“Perlu diketahui mereka yang menyelewengkan wang zakat ini adalah berdosa besar. Mereka yang tidak amanah dalam menguruskan zakat ini hendaklah dikenakan tindakan dan diberi hukuman sewajarnya,” titah baginda.


Pengarang :