AGENDANASIONAL

Pahang, Perak mula banjir

KUANTAN, 20 OKT: Seramai 13 penduduk Kampung Kuala Repas, Bentong dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir kilat malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pahang Zainal Yusoff berkata, hujan selama 20 minit bermula pukul 8 malam menyebabkan tiga rumah di kawasan berkenaan dinaiki air sedalam setengah kaki (0.152 meter).

“Susulan maklumat yang diterima APM pada pukul 8.45 malam, sebuah PPS banjir telah dibuka di Surau Kampung Kuala Repas pada pukul 10.15 malam.

“PPS itu menempatkan tiga lelaki lelaki dewasa, tiga wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan daripada tiga keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, di Perak, seramai 241 mangsa banjir di Perak masih ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 8 pagi ini.

Menurut jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak, seramai 219 orang daripada 61 keluarga di daerah Hilir Perak ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Teluk Intan.

Ia melibatkan mangsa dari Kampung Batu 9, Kampung Batu 7, Lorong Mesra Batu 7 1/2, Lorong Sidang Osman dan Batu 8, katanya.

Sebuah lagi PPS yang baru dibuka di daerah Hulu Perak malam tadi iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Pengkalan Ikan di Lenggong juga masih menempatkan empat penduduk membabitkan satu keluarga.

Beliau berkata, jumlah mangsa yang masih ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Klah Baru di daerah Batang Padang kekal seramai 18 orang membabitkan empat keluarga dari Kampung Sungai Klah Baru, Sungkai.

– BERNAMA


Pengarang :