AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PAKATAN perlu fokus teruskan dasar, penuhi janji

CYBERJAYA, 21 OKT: Tahun kedua menjadi titik tolak kepada kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk lebih fokus bagi meneruskan dasar sedia ada termasuk memenuhi janji dalam manifesto.

Pengerusi PAKATAN Selangor, Amirudin Shari berkata tindakan pihak tertentu yang cuba menimbulkan keresahan kepada rakyat bagi sesuatu perkara tidak jelas disifatkan kurang bertanggungjawab.

“Daripada semangat kerajaan bagi saya yang penting untuk meneruskan dasar dan janji serta melaksanakan apa yang sudah dilaksanakan.

“Mewujudkan (kerajaan baharu) ia dakwaan sesetengah pihak yang perlu dikemukakan bukti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Townhall Bandar Pintar dan Rendah Karbon@Cyberjaya serta Pelancaran Garis Panduan Pembangunan Mampan@Sepang (GPPMS) Aplikasi Pintar i-Sepang, di Cyberview Resort & Spa, di sini hari ini.

Kenyataan itu susulan dakwaan wujudnya komplot untuk menubuhkan kerajaan baharu tanpa pembabitan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Amirudin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung gerakan terbabit supaya tampil mengemukakan bukti kepada Majlis Pimpinan PAKATAN.

“Kalau ada bukti boleh dibawa dalam Majlis Pimpinan PAKATAN dan dibincangkan dengan betul serta harus dimuktamadkan segera.

“Kalau dibiarkan bertaburan tanpa penyelesaian hanya akan menimbulkan kegelisahan yang tidak diperlukan,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Setiausaha PAKATAN dalam satu kenyataan mendesak Ahli Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menghentikan kempen yang cuba menampilkan idea kerajaan tanpa penyertaan dua lagi parti komponen PAKATAN iaitu DAP dan Amanah.

Majlis Setiausaha PAKATAN menegaskan, mereka berpegang teguh kepada Muafakat PAKATAN yang dipersetujui secara bersama oleh KEADILAN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Amanah dan DAP untuk kekal dalam kerajaan yang turut dianggotai Parti Warisan Sabah..

Bagaimanapun, Hishammuddin menafikan dakwaan berkenaan.

 


Pengarang :