Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua, kanan) pada sidang media ketika lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Shafie Ismail (dua,kiri). Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tindakan tegas anggota terbabit kegiatan seludup di sempadan

PONTIAN, 18 OKT: Tindakan tegas akan dikenakan terhadap anggota keselamatan jika didapati terbabit dalam kegiatan penyeludupan rentas sempadan yang berleluasa di kawasan Padang Besar, Perlis.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata isu penyeludupan di sempadan negara memang disedari bukan perkara baharu, yang agaknya sudah lama berlaku.

“Sekarang ini kalau ada maklumat baharu yang terkini yang disediakan oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dengan gambar, video yang jelas dan boleh dicam polis.

“Maka kita boleh ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini hari ini.

Sambil berterima kasih kepada SPRM atas pendedahan berkenaan, Muhyiddin berkata penyeludupan merupakan satu daripada cabaran besar yang dihadapi anggota keselamatan terutamanya di pintu masuk negara memandangkan sempadan negara ini amat luas.

Beliau berkata sehubungan itu, pihaknya mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai supaya siasatan serta bukti jelas berhubung penyeludupan boleh diperoleh bagi membolehkan tindakan mengikut undang-undang dapat dilaksanakan kepada mereka yang terbabit.

Ditanya adakah perlu diwujudkan pasukan petugas susulan pendedahan isu penyeludupan itu, beliau berkata ia tidak perlu memandangkan ia merupakan sebahagian tugas anggota keselamatan, namun, kementeriannya akan meneliti fakta serta data dikemukakan SPRM untuk tindakan selanjutnya.

“Kalau ada anggota terbabit, kami tidak boleh kecualikan. Undang-undang tidak mengenal sama ada pegawai atau memang penyeludup. Kalau dia bersubahat sekali pun dan ada bukti, memang kami akan ambil tindakan,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau tahu ada kalanya soal logistik atau sebagainya menjadi masalah berbangkit, namun, pihaknya tidak mahu ia menjadi dalih atau sebab penguatkuasaan di sempadan tidak berkesan.

“Yang berlaku ini kadang-kadang ialah sindiket terancang. Yang penting adalah bagaimana kita nak kukuhkan organisasi,” katanya.

Hari ini, SPRM mendedahkan klip video berdurasi 11 minit berhubung kegiatan penyeludupan rentas sempadan yang berleluasa di kawasan Padang Besar.

Klip video antara 2017 hingga Mei 2019 itu antara lain menunjukkan penyeludup memotong pagar sempadan dan membawa keluar barang bersubsidi, selain anggota keselamatan kelihatan tidak mengambil tindakan walaupun berlaku di depan mata.

-BERNAMA


Pengarang :