Pasukan hoki Malaysia menjalani latihan dikendalikan ketua jurulatih, Roelant Oltmans. Foto FB KONFEDERASI HOKI MALAYSIA (MHC)
AGENDASUKANKINI

Laluan skuad hoki ke Olimpik Tokyo makin sukar

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Peluang skuad hoki lelaki negara untuk mara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 semakin tipis apabila ketinggalan 1-4 kepada Great Britain pada perlawanan pertama play off kelayakan Sukan Olimpik di London, awal pagi ini.

Anak didik Roelant Oltmans ternyata perlu bekerja keras membuka peluang baharu pada perlawanan kedua, pada jam 11 malam ini, di Lee Valley Hockey & Tenis Centre, London.

Misi menamatkan kemarau gagal layak ke Olimpik sejak edisi 2000 di Sydney, Australia, semakin pudar dan hanya keajaiban pada pertemuan kedua itu dapat mengesahkan laluan Malaysia ke pentas Olimpik.

Malaysia memulakan aksi dengan garang apabila pukulan sudut penalti pertama pada awal perlawanan gagal diterjemahkan ke dalam gawang.

Bagaimanapun, Nabil Fiqri Mohd Noor bijak menyambut hantaran Muhammad Razie Abdul Rahim, untuk mengejutkan penjaga gol George Pinner untuk gol pertama Malaysia pada minit keenam.

Pemain negara jelas menunjukkan mutu permainan yang baik dengan aksi kawalan bola yang lebih kemas oleh pemain pertahanan, Faiz Helmi Jali dan Syed Syafiq Syed Cholan.

Tersentak dengan kesungguhan dan serangan bertalu-talu Malaysia Tigers, pasukan Great Britain cuba mengawal permainan dan meningkatkan serangan balas untuk menyamakan jaringan sebelum suku kedua berakhir.

Pasukan tuan rumah kemudian bangkit menyamakan kedudukan seawal dua minit perlawanan suku ketiga menerusi gol padang pemain penyerang, Sam Ward pada minit ke-33.

Great Britain mula mendapat rentak apabila pintu gawang S.Kumar digegarkan pada minit ke-36 oleh gol padang Phil Roper dan hantaran terus oleh Alan Forsyth pada minit ke-42.

Kad hijau diberi kepada Faizal Saari dua minit sebelum perlawanan suku ketiga berakhir selepas melakukan kekasaran di bahagian belakang.

Di awal babak keempat, Great Britain meletakkan mereka di kedudukan selesa dengan keputusan 4-1 selepas pemain mudanya, James Gall membolosi gawang Malaysia pada minit ke-47 untuk membawa bekalan selesa pada perlawanan timbal balik itu.

– BERNAMA


Pengarang :