Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman menyampaikan replika kunci pada Majlis Penyerahan Projek Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) TNB 2019 Peringkat Selangor dengan Kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Bangunan PKNS, Shah Alam pada 13 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKNS, TNB bantu asnaf Selangor

 

SHAH ALAM, 13 DIS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berganding bahu merealisasikan hasrat golongan asnaf memiliki kediaman yang lebih selesa.

Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, kerjasama yang pertama kali itu sebagai langkah membantu golongan kurang bernasib baik di Selangor meningkatkan kualiti hidup masing-masing.

“Kami komited dan sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan mahupun syarikat korporat dalam membantu meningkatkan taraf hidup golongan yang memerlukan terutamanya membabitkan asnaf di negeri ini.

“Oleh itu, PKNS berbesar hati apabila TNB sudi menawarkan untuk bekerjasama dan berkongsi aspirasi sama membantu asnaf,” katanya.

Ketua Pegawai Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Program Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) peringkat Selangor di Ibu Pejabat PKNS, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman dan Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat TNB, Datuk Omar Sidek.

Pada program berkenaan, seramai enam keluarga menerima bantuan PBJ manakala satu keluarga menerima bantuan menerusi PMR. Bantuan PBJ melibatkan golongan asnaf beragama Islam manakala bantuan PMR membabitkan penerima dalam kalangan bukan Islam.

Siti Zubaidah berkata, pada program kali ini, TNB mengeluarkan RM226,925.55 bagi membayar tunggakan sewa rumah enam penghuni Flat Seri Perantau Port Klang.

Katanya, pada 2014, PKNS menerusi program Kasih PKNS membantu sembilan asnaf fakir miskin membayar tunggakan sewa rumah.

“Bantuan itu menggunakan peruntukan wang zakat PKNS yang kesemuanya berjumlah lebih RM98,000 bagi menyelesaikan tunggakan sewa,” katanya.

Katanya, pada 2015, PKNS turut menghulurkan bantuan bagi membiayai kos pembelian rumah sembilan asnaf fakir miskin juga menerusi wang zakat PKNS.


Pengarang :