Notis pemberitahuan operasi perniagaan ditampal pada pintu masuk sebuah restoran makanan segera ketika tinjauan di Shah Alam susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kes Covid-19 meningkat, 1,030 orang dijangkiti

SHAH ALAM, 20 MAC: Wabak Covid-19 di negara ini terus meningkat, buat pertama kali melebihi 1,000 kes apabila 130 orang lagi dilaporkan positif hari ini.

Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 26 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Hari ini 12 pesakit sudah pulih dan dibenarkan keluar hospital. Secara keseluruhan, 87 pesakit sudah pulih.

“48 pesakit dikesan adalah dari kluster (ijtimak) tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling bulan lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penambahan itu menjadikan jumlah pesakit Covid-19 di negara ini semuanya 1,030 orang.

Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia akan ditugaskan untuk membantu polis menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan selepas 12 tengah malam Ahad ini.

“Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mematuhi segala arahan daripada pihak berkuasa seperti mana keperluan dalam Perintah Kawalan Pergerakan,” kata satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap orang ramai yang ingkar dan tidak mematuhi perintah tersebut,” tambahnya.


Pengarang :