Petugas Kementerian Kesihatan bertungkus-lumus menjalankan saringan Covid-19 di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

MB ingatkan peserta tabligh buat saringan Covid-19

SHAH ALAM, 17 MAC: Dato’ Menteri Besar sekali lagi menggesa semua peserta tabligh yang terlibat dengan perhimpunan di Masjid Seri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu membuat ujian saringan.

Dato’ Seri Amirudin Shari dalam perutusan khas melalui Facebook, hari ini berkata langkah itu bagi mengekang penularan wabak yang semakin meningkat terutama di Selangor.

“Memandangkan kumpulan ini terlibat dengan kluster terbesar Covid-19, segeralah ke pusat kesihatan berhampiran dan dapatkan ujian saringan daripada hospital.

“Hasil pertemuan dengan EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud dan Kementerian Kesihatan Malaysia juga mendapati jumlah kes wabak berkenaan terus meningkat di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat khas bersama EXCO Kerajaan Negeri susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai esok hingga 31 Mac di seluruh negara.

Pada 12 Mac lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan seorang warga emas dijangkiti Covid-19 selepas menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling.

Dianggarkan lebih 10,000 orang dari pelbagai negara terbabit dalam perhimpunan di masjid berkenaan.


Pengarang :