Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Objek di dalam kotak fakta

OLEH LOKMAN HAKIM

 

1. Kita pegang hipotesis ini, dunia bukannya terdiri daripada objek tetapi fakta. Benar, segala-galanya hanya fakta. Kita anggap kenyataan ini selaku sahih seratus peratus.

1.1. Seekor kucing bernama Tommy tahu tuan rumah A akan keluar tepat pada pukul 8:25 pagi.

1.2. Dia menanti. Dia meninjau persis seorang ejen perisikan sebuah negara yang harus dirahsiakan namanya.

1.3. Dalam kepala tuan rumah A pula, dia syak kucing itu merupakan ejen perisikan tersebut.

1.4. Tommy tahu beberapa ketika nanti dia akan turun dari bonet kereta itu, menyorok di bawah kereta lain yang tuannya takkan keluar dari rumah sehingga malam menjelma.

1.5. Tommy syak pemilik kereta yang nokturnal itu seorang yang memiliki keabadian hayat.

1.6. Tuan rumah A tadi, lebih mengharap kucing itu sejenis makhluk asing berbanding dengan ejen perisikan. Terlalu klise, katanya. Selaku seorang pembaca tegar, dia lebih banyak menemui karya-karya thriller ala-ala Dan Brown berbanding dengan karya-karya fiksyen sains ala-ala Douglas Adams.

1.7. Tommy sudah tidak peduli pada tuan rumah A itu. Perutnya lapar. Ia akan menyondol-nyondol kepalanya di betis seorang gadis rupawan jiran kepada makhluk abadi merangkap sang nokturnal.

1.8. Tuan rumah A meninggalkan kawasan perumahan dan memusatkan fokusnya pada pemandu-pemandu biadap yang disyakinya zombi. Cara pemanduan mereka itu rata-ratanya seperti tiada hala-tuju. Mereka membelok ke lorong kanan ketika memberi isyarat mahu ke lorong kiri. Kadangkala mereka berhenti dan berundur sebelum mematikan enjin. Mungkin tidak betah memakai perisian Waze atau Google Map.

2. Kita letakkan Tommy, tuan rumah A, gadis rupawan dan makhluk abadi selaku fakta. Fakta di sini pula adalah kenyataan yang fleksibel inti patinya. Putar belitkan ia seiring dengan kehendak diri. Engkau sedang menciptakan naratif bukan? Naratif adalah lambakan fakta yang bersusun kemas membawa logiknya yang tersendiri. Kita boleh bermula begini:

2.1. Engkau anggap Tommy tidak rasional. Tiada salahnya kerana Tommy adalah seekor kucing. Kucing tidak berakal seperti manusia.

2.2. Engkau memintaku mengemukakan fakta bahawasanya tuan rumah A itu seorang yang suka berangan.  Katamu, tidak mustahil tuan rumah itu seorang pengarang fiksyen. Jika tidak cerpen, pastinya novel.

2.3. Aku menanyakan perihal kemungkinan tuan rumah itu sebenarnya pandai tulis puisi. Engkau menafikan kerana tiada maklumat seumpama itu dalam kenyataaan dalam poin-poin 1.1 hingga 1.8.

2.4. Hujah engkau adalah fiksyen ini terlalu melangkah luar daripada norma logik kerana bagaimana seekor kucing boleh mempercayai seorang manusia itu sebenarnya sejenis makhluk abadi?

2.5. Aku kata tiada salahnya kerana ini adalah fiksyen. Fiksyen sepatutnya ada jalan cerita. Kita nampak pergerakan setiap subjek dengan jelas. Tambahan pula ia mendukung logik fiksyennya yang tersendiri. Tidakkah itu memadai?

2.6. Engkau kata ini cerpen yang teruk, aku menafikan. Kita berkelahi.

2.7. Tiada konklusi melainkan perkelahian. Engkau mungkin tidak mahu berdebat mengenai objek di dalam kotak fakta tetapi sekadar mahu mencari sebab untuk menumbuk mukaku. Engkau berjaya. Mulutku berdarah.

3. Sebenarnya, kita tidak patut berdebat mengenai adakah dunia ini terdiri daripada lambakan fakta mahupun objek.

Dalam perjalanan ke hospital, kau meminta maaf. Aku mahu maafkan tetapi mukaku kebas. Bibirku juga pecah-pecah. Tekak terasa perit. Jangan minta aku berbicara pada waktu ini, tetapi nampak gayanya aku tiada jalan mahu melarang engkau berkata-kata. Sesudah meminta maaf, engkau memulakan kes baharu. Aku pasrah. Aku pejamkan mata, tetapi kau tidak mahu berhenti. Aku mengeluh, tetapi kau tak peduli.

4. Kita patut balik ke rumah dan teruskan hidup seperti biasa. Tommy, Tuan Rumah A, gadis yang dikatakan rupawan (masih boleh didebatkan) dan juga makhluk abadi nokturnal boleh meneruskan hidupnya tanpa sebarang pengaruh kita. Harus diingat, sebuah cerita tidak wajar dinaratifkan oleh lebih daripada seorang narator. Engkau patut berhenti menjadi sesuatu yang omnipresence biarpun engkau merangka cerita ini dan watak-wataknya. Dunia terdiri daripada objek dan bukannya fakta. Bersetuju atau tidak itu kita boleh bincangkan. Tidak perlu bertumbuk seperti tadi.

5. Seperti yang engkau tahu, Tommy, Tuan Rumah A, si gadis dan makhluk abadi nokturnal itu sesuatu yang sahih. Sahih itu boleh jadinya duduk di dalam fakta mahupun objek. Katakan sahajalah definisi fakta dan objek itu bertindihan. Apabila kita melihat ia begitu, kita tidak perlu bertelagah mengenai definisi. Kecederaan aku ini objek atau fakta? Kesakitan ini, dirasai, tetapi tidak dapat disentuh. Engkau tidak akan merasai kesakitan yang aku alami biarpun engkau berempati.

6. Soalnya sekarang bagaimana kalau kita menjadi objek di dalam fakta dan menjadi inti pati realiti ini? Ya, kita adalah pembaca kepada naratif ini, di mana fakta dan objek saling menduduki di dalam setiap satunya lalu menjadi apa yang kita boleh anggap selaku – diri kita yang sahih.


Pengarang :