Keadaan lalu lintas sesak di Tambak Singapura. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMAGLOBAL

Perintah kawalan: Singapura harap Malaysia lebih fleksibel

SINGAPURA, 18 MAC: Singapura berharap republik itu diberi lebih banyak masa dan sedikit kelonggaran selepas Malaysia mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, yang berkuat kuasa hari ini hingga 31 Mac.

“Kami berhubung dengan pihak Malaysia untuk mendapatkan sedikit kefleksibelan yang melangkaui tempoh tengah malam tadi…sehari atau dua hari bagi membolehkan peralihan itu berlaku.

“…perbincangan mengenai perkara itu masih berlangsung,” kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong dalam sidang akhbar Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian untuk mengemas kini situasi tempatan berkaitan penularan wabak Covid-19 di republik itu.

Malaysia pada Isnin memutuskan untuk melaksanakan perintah sekatan pergerakan di seluruh negara mulai 18 hingga 31 Mac bagi membendung penularan Covid-19.

Perintah itu, antara lain merangkumi sekatan perjalanan sepenuhnya terhadap semua rakyat Malaysia ke luar negara selain menghalang kemasukan pelawat dan pelancong asing ke Malaysia.

Kesemua langkah ini menjejaskan pemegang pas kerja dan rakyat Singapura selain penduduk tetapnya yang berulang-alik setiap hari ke Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :