Ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia melakukan kerja semburan sanitasi di sekitar kawasan sekatan jalan raya pada 5 April 2020 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sungai Lui Batu 21, Hulu Langat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: KKM rayu jujur beri maklumat

SHAH ALAM, 5 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merayu masyarakat supaya bersikap jujur memberi maklumat dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata masyarakat perlu memaklumkan jika mempunyai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19, perjalanan ke luar negara dan menghadiri perhimpunan yang berkait rapat dengan penularan wabak tersebut.

“Sebagai contoh terdapat satu kluster wujud daripada kes indeks positif Covid-19, yang mempunyai sejarah perjalanan ke Itali (kes ke-1580).

“Daripada kluster tersebut 37 orang disahkan positif Covid-19, selain lima kematian (iaitu kes ke-1031, ke-1032, ke-1006, ke-2850 dan ke-2210) serta satu kes memerlukan bantuan pernafasan di unit rawatan rapi,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kluster tersebut membabitkan jangkitan sehingga generasi ketiga.

Terdahulu, KKM memaklumkan jumlah kematian meningkat kepada 61 orang dengan 179 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 3,662 kes.

Seramai 99 orang sedang dirawat di unit rawatan rapi, sementara 1,005 pesakit sudah sembuh dan dibenarkan pulang.


Pengarang :