Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan kit saringan pada Program Pelepasan Pasukan Pergerakan Operasi Cari dan Saring (OCS) Daerah Kuala Langat di Dataran SUK, Shah Alam pada 11 April 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Saringan skala besar jadikan Selangor model perangi Covid-19

SHAH ALAM, 11 APRIL: Saringan Covid-19 besar-besaran termasuk rumah ke rumah  bermula hari ini ke kawasan zon merah di Hulu Langat bakal menjadi model atau perintis di Malaysia, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata analisis selepas misi pertama ini boleh membantu usaha Kerajaan Negeri untuk misi saringan akan datang.

“Ini akan menjadi satu model atau perintis di Malaysia untuk membuktikan bahawa kajian yang lebih besar akan memberikan hasil yang lebih besar dan kejayaan yang lebih besar dalam usaha kita tangani Covid-19,” katanya.

Terdahulu, beliau melepaskan pasukan saringan berkenaan setelah memberi taklimat ringkas di Dataran SUK di sini pagi tadi. Hadir sama Ketua Bilik Gerakan Covid-19 Selangor, Dato’ Zamani Ahmad Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate, Noor Hisham Mohd Ghouth.

Amirudin berkata pasukan sukarelawan berkeupayaan menjalankan 400 hingga 500 ujian saringan sehari dan keputusan ujian akan diperolehi dalam tempoh 48 jam.

“Diharap pasukan ini dapat mengikut disiplin ditetapkan kerana anda semua umpama penyelamat yang masuk ke kawasan peperangan. Bezanya anda semua tidak nampak serangan kerana berdepan dengan virus,” katanya.


Pengarang :