Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau sekatan di Lebuh Raya Persekutuan yang dilakukan polis dan tentera sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada 7 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB seru lapan peratus individu ingkar PKP sayangi nyawa

SHAH ALAM, 8 APRIL: Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru kumpulan tujuh hingga lapan peratus rakyat negeri ini yang masih ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan keluar rumah mengubah sikap demi nyawa.

Dato’ Menteri Besar berkata berdasarkan laporan Ketua Polis Selangor sebanyak 92 hingga 93 peratus rakyat negeri ini telah mengikut arahan PKP.

“Semalam saya sempat berjumpa petugas barisan hadapan terutama tentera dan polis. Petugas yang lakukan sekatan memaklumkan ada antara individu yang ditahan beri alasan tidak masuk akal.

“Saya harap individu ingkar ini patuh arahan kerana tindakan itu membabitkan kesihatan yang ketika ini menjadi keutamaan negara,” kata beliau ketika bersiaran menerusi panggilan video di Bernama Radio pagi ini.

Kata Amirudin, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan pelaksanaan PKP fasa dua di negeri ini.

Selain itu, kata Amirudin langkah tambahan bagi memastikan rantaian Covid-19 putus, kerajaan Selangor menempatkan polis dan askar di pintu masuk di semua sempadan daerah negeri ini.

“Kita juga tutup beberapa jalan untuk kurangkan individu keluar tanpa alasan dan saya menyokong keputusan dibuat pihak keselamatan,” katanya.


Pengarang :