AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: 22 kes baharu, ketiga terendah sejak PKP

SHAH ALAM, 17 MEI: Sebanyak 22 kes positif Covid-19 dicatat hari ini, angka ketiga terendah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, kata ketua pengarah kesihatan.

Sebelum ini direkodkan angka kes positif Covid-19 kedua terendah iaitu sebanyak 17 kes pada semalam dan kes pertama terendah sebanyak 16 kes pada 12 Mei lepas.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 22 kes baharu, lima adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 17 merupakan penularan tempatan yang melibatkan sembilan warga asing.

“Jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 6,894 dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,210 kes,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya.

Beliau berkata sebanyak 59 kes pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 ialah 5,571.

“Sehingga kini, 13 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala tujuh memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata tiada pertambahan kes kematian hari ini dan jumlahnya kekal sebanyak 113 kes atau 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

 

 

 


Pengarang :