Hanya imam dan bilal mengerjakan solat Zohor di Surau Al-Husna Seksyen 20, Shah Alam pada 18 Mac 2020 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Solat Jumaat berperingkat di Selangor mulai esok, had 12 orang

SHAH ALAM, 14 MEI: Pelaksanaan solat Jumaat di Selangor dibuat secara berperingkat dan terkawal mulai esok bagi mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan jemaah.

Perkara tersebut dimaklumkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Baginda amat prihatin dengan situasi Selangor yang masih berada dalam zon merah dan kuning ancaman Covid-19, malah masih terdapat kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” kata pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, jumlah jemaah tidak boleh melebihi 12 orang dengan hanya pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sahaja dibenarkan termasuk imam, bilal dan siak bertugas.

Mohd Shahzihan berkata arahan tersebut hanya terpakai bagi pelaksanaan solat Jumaat sahaja manakala solat fardhu berjemaah masih lagi mengekalkan tiga orang iaitu imam, bilal dan siak.

“Peringkat pertama membabitkan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, sembilan masjid daerah dan lima masjid diraja manakala peringkat kedua pada 22 Mei membabitkan 24 masjid pengurusan.

“Lain-lain masjid dan surau yang tidak dinyatakan diminta kekal melaksanakan solat Zohor pada hari Jumaat seperti yang dıtetapkan Jais pada 16 April lalu,” katanya lagi.

Petang tadi, kerajaan memutuskan solat Jumaat dan berjemaah boleh dilaksanakan di masjid serta surau terpilih di Wilayah Persekutuan secara berperingkat mulai esok.

Bilangan jemaah pula tidak kurang daripada tiga, tidak termasuk imam dan tidak lebih 30 orang.

Berikut ialah senarai masjid yang diberi kebenaran solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat:

1. Masjid Negeri Selangor
-Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

2. Masjid Diraja Negeri Selangor
-Masjid Sultan Abdul Aziz, Pulau Indah
-Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang
-Masjid Diraja Sultan Ala’eddin, Banting
-Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Petaling
-Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Sepang

3. Masjid Daerah Negeri Selangor
-Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu
-Masjid Jamek As-Solihin, Banting
-Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Kuala Selangor
-Masjid Jamek Pekan Kajang
-Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam
-Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang
-Masjid Jamek Raja Tun Uda, Shah Alam
-Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves
-Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Sepang

4. Masjid Pengurusan (naik taraf) Negeri Selangor
-Masjid Bandar Diraja Klang
-Masjid Ara Damansara
-Masjid Seksyen 7, Shah Alam
-Masjid Al-Ikhlas Shah Alam
-Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang
-Masjid As-Salam, Puchong
-Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Petaling Jaya
-Masjid Bandar Baru Sungai Buloh
-Masjid Nurul Ehsan, Petaling Jaya
-Masjid Al-Husna, Petaling Jaya
-Masjid Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya
-Masjid Alam Impian, Shah Alam
-Masjid Al-Mustaqim, Ampang
-Masjid Puncak Alam
-Masjid An-Nur Temasya Glenmarie
-Masjid Cyberjaya 10
-Masjid Perodua, Serendah
-Masjid Al-Ridhuan, Ampang Jaya
-Masjid At-Taqwa, Kajang
-Masjid Ar-Rahimah, Rawang
-Masjid Al-Shariff, Batu Caves
-Masjid Nurul Hidayah, Kuala Lumpur
-Masjid Bukit Indah, Ampang
-Masjid Jamek Samadiah, Klang


Pengarang :