Selangor Fruit Valley yang dibuka sejak 15 September sedia menerima lebih ramai pengunjung. Foto Facebook YB Ir Izham Hashim
AGENSISELANGOR

50 usahawan Selangor Fruits Valley terima bantuan baja, jentera

SHAH ALAM, 18 JULAI: Seramai 50 usahawan Selangor Fruits Valley menerima bantuan pertanian daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Pengurus besar kumpulan berkata sebanyak RM100,000 peruntukan disediakan dalam bentuk bantuan baja, peralatan dan jentera, malah usaha itu diperluas selepas ini.

“Kita dah bagi baja dua tan secara percuma kepada petani bagi pembelian setiap dua tan baja. Hampir semua usahawan kita mengambil kesempatan membeli dua tan baja. Yang lain kita bantu dengan jentera pada harga istimewa.

“Selain itu, sewaan lot tanah kita kurangkan untuk membantu mereka. Kita juga akan beri peralatan yang diperlukan Insya-Allah bermula bulan hadapan,” kata Tamby Omar Mohammed kepada Selangorkini.

Beliau menambah PKPS memperuntukkan RM3.5 juta untuk bekalan elektrik bagi memudahkan usahawan meningkatkan hasil pertanian.

Inisiatif jaminan bekalan makanan Selangor antara perkara ditekankan dalam pelan pemulihan ekonomi ketiga yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada 13 Julai lalu.

Bagi menjayakan program Keselamatan Bekalan Makanan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM50 juta di samping memperkasakan peranan PKPS.


Pengarang :