AGENSISELANGOR

Kilang ais, mesin jual air dan premis air minuman berbungkus tiada lesen disita

SHAH ALAM, 25 JULAI: Dua kilang ais, 29 mesin jual air (MJA) dan sebuah premis air minuman berbungkus (AMB) disita Jabatan Kesihatan Selangor kerana beroperasi tanpa lesen.

Pengarahnya Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata tindakan dibuat menerusi Ops Lesen yang dijalankan ke atas 17 kilang ais, 35 MJA dan tiga premis AMB di seluruh Selangor pada 21 hingga 23 Julai lalu.

“Tujuh notis 32B mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 dikeluarkan kepada pemilik kilang ais iaitu kesalahan ditemui pada pengendali makanan serta kewajipan tuan punya, pemunya atau penghuni premis.

“Semua MJA tidak berlesen disita dan diberikan notis Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dengan amaran serta tindakan undang-undang akan diambil sekiranya pemilik premis membenarkan pemunya MJA menggunakan utiliti seperti bekalan elektrik dan air untuk terus beroperasi tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata MJA yang disita akan dipantau pejabat kesihatan daerah dan tindakan pelupusan diambil jika pemiliknya tidak memohon lesen perniagaan dalam tempoh diberikan.

Sementara itu, Dr Sha’ari menjelaskan premis AMB yang mendapat penilaian tahap kebersihan akan diberikan arahan tindakan penambahbaikan dan notis kompaun mengikut Seksyen 32B PPKM 2009.

“Nasihat dan pendidikan kesihatan juga diberikan kepada pemilik premis untuk terus memastikan tahap kebersihan dan keselamatan berada pada tahap optimum,” katanya.


Pengarang :