AGENDANASIONAL

Lanjutan moratorium bantu golongan hilang kerja, terjejas akibat Covid-19

SHAH ALAM, 29 JULAI: Kerajaan melanjutkan tempoh moratorium khusus kepada golongan sasar termasuk mereka yang hilang pekerjaan pada tahun ini, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bantuan bank bersasar juga akan diberikan kepada mereka yang terjejas susulan penularan Covid-19.

“Bagi individu kehilangan pekerjaan dan masih tidak mendapat kerja, mereka akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh tiga bulan. Selepas itu, bank boleh melanjutkan tempoh bergantung kepada situasi dihadapi,” katanya dalam sidang media hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata individu yang mengalami pengurangan gaji akibat Covid-19 juga berpeluang mengurangkan bayaran ansuran bulanan.

“Contohnya, bagi pinjaman perumahan atau peribadi, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji.

“Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pihak perbankan turut memberi komitmen untuk membantu peminjam individu atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk peniaga, penjaja atau mereka yang bekerja sendiri.

Bantuan yang ditawarkan termasuk:

• Membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan; atau
• Memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan; atau
• Memberi pelepasan lain sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan yang lebih stabil.

Langkah-langkah ini dijangka akan memanfaatkan tiga juta individu dan PKS.

Justeru, peminjam yang layak boleh menghubungi bank masing-masing untuk membuat permohonan mulai 7 Ogos ini.

Pada 25 Mac lalu, perdana menteri mengumumkan langkah moratorium meliputi penangguhan pembayaran balik pinjaman, penstrukturan semula baki kad kredit dan pinjaman korporat yang akan berakhir 30 September.


Pengarang :