Antara ruang untuk pesakit yang disediakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di MAEPS pada 3 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pusat kuarantin Covid-19 MAEPS Serdang tutup Rabu depan

SHAH ALAM, 10 JULAI: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS (PKRC), Serdang ditutup secara rasmi pada 15 Julai, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia susulan pesakit terakhir yang dirawat di pusat kuarantin itu sudah dibenarkan pulang hari ini.

“Sejak dibuka pada 16 April lalu, pusat itu merawat 1,362 pesakit membabitkan bukan warganegara sebanyak 86 peratus, manakala baki 14 peratus ialah rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham operasi PKRC adalah hasil kerjasama pelbagai agensi dengan diterajui oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, ia meliputi Agensi Pengurusan Bencana Negara, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Malaysia Genome Institute serta MAEPS.

“KKM ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh barisan hadapan daripada semua agensi terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan pelaksanaan operasi pusat ini,” katanya.


Pengarang :