Petugas kesihatan memegang kit ujian sebelum membuat proses calitan bagi mengumpul sampel Covid-19 di Gombak pada 22 April 2020. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kes harian Covid-19 melonjak kepada 182

SHAH ALAM, 11 SEPT: Kes baharu Covid-19 melonjak kepada 182 hari ini dengan 181 daripadanya jangkitan tempatan manakala satu kes import, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 167 kes membabitkan kluster Benteng di Sabah sementara kluster Sungai dan Telaga di Kedah mencatatkan 14 kes.

“Daripada 181 kes penularan dalam negara, 90 adalah warganegara manakala 91 warga asing dan satu kes import di Selangor adalah warganegara Filipina.

“Ini menjadikan jumlah kes terkumpul di Malaysia sebanyak 9,810 dengan 501 daripadanya aktif,” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 14 pesakit lagi berjaya sembuh dan keseluruhan yang pulih sebanyak 9,181 kes atau 93.59 peratus.

Katanya, sehingga kini sembilan individu dirawat di unit rawatan rapi dengan lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada kes kematian baharu dicatatkan hari ini dan jumlah yang maut kekal 128 orang atau 1.30 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.


Pengarang :