Selangorkini
Seramai 62 orang jemaah tabligh, 34 orang gabungan kakitangan kedutaan Malaysia dan rakyat Malaysia yang terkandas sejak lapangan terbang India ditutup manakala baki 11 orang merupakan krew Malindo Air selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Tak wajib kuarantin individu pulang dari Sabah tanpa gejala, negatif Covid-19

PUTRAJAYA, 29 SEPT: Mereka yang pulang dari Sabah dan diuji negatif Covid-19, tidak bergejala serta tidak mempunyai kontak rapat dengan individu disahkan positif, tidak diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, beliau berkata mereka yang berkenaan dinasihatkan menjalani kawalan kendiri termasuk berada di rumah sehingga tamat tempoh 14 hari itu.

“Mereka juga dinasihatkan tampil ke Pusat Kesihatan Daerah atau klinik kesihatan untuk membuat ujian swab pada hari ke-13 bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada Covid-19,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata bagi individu pulang dari Sabah yang didapati positif akan dirawat di hospital manakala yang negatif tetapi bergejala dan mempunyai kontak rapat dengan individu positif perlu menjalani kuarantin wajib di rumah selama 14 hari.

Mereka juga dipakaikan dengan gelang merah jambu, katanya.

Penjelasan itu sekali gus melegakan kebimbangan orang awam berikutan laporan media berhubung mereka yang pulang dari Sabah tidak perlu dikuarantin jika ujian swab mendapati mereka negatif.

Kerajaan mula mewajibkan individu yang pulang dari Sabah menjalani ujian saringan di KLIA dan klia2 sejak Ahad lepas berikutan peningkatan tinggi kes di beberapa daerah di negeri berkenaan.

Menjawab cadangan supaya mereka yang pulang dari Sabah dikuarantin di pusat kuarantin agar tidak mengulangi kes kluster Sivagangga, Dr Noor Hisham berkata tindakan itu hanya dilaksanakan terhadap individu yang pulang dari luar negara sahaja.

“Pelaksanaan peraturan kuarantin di rumah juga terpakai bagi penduduk negeri lain sebelum ini termasuk mereka dari Kedah yang mencatat kes tinggi kerana kluster Sivagangga.

“Sebagai contoh penduduk dari Kota Setar, kita saring mereka dari zon merah tetapi kita tidak kuarantin (di pusat kuarantin) mereka, kita pastikan semua tindakan kita sama dengan negeri lain,” katanya.

Sementara itu, bagi mereka yang mempunyai masalah untuk kuarantin di rumah dan ditolak oleh pengurusan mana-mana hotel, individu terlibat boleh menghubungi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk dipertimbang menjalani kuarantin di institut latihan awam.

Mengulas mengenai permintaan Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) yang mahu kru kapal disaring dan dikuarantin ekoran ada penumpang yang baharu pulang dari Sabah mempunyai gejala, Dr Noor Hisham berkata kru kapal pesawat diuji secara berkala.

“Kita tidak saring setiap hari, tetapi kru kabin dinasihati sentiasa mematuhi SOP, memakai pelitup muka dan pelindung mata setiap masa ketika bertugas dalam penerbangan.

“Jika ada yang bergejala, mereka perlu jalani kuarantin,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :