Pegawal keselamatan menarik pintu pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara (4) yang diarah tutup berikutan daerah Petaling dikelaskan sebagai zon merah Covid-19 ketika tinjauan pada 12 Oktober 2020. Foto BERNAMA
ADNAGENDANASIONALSELANGOR

ADN pertikai kuat kuasa PKPB di zon hijau

SHAH ALAM, 13 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama mempertikaikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabak Bernam walaupun tidak merekodkan jangkitan Covid-19.

Jamaliah Jamaluddin berkata PKPB bermula esok termasuk di beberapa kawasan zon hijau bakal memberi kesan kepada sektor ekonomi selain petugas barisan hadapan terpaksa bekerja lebih masa.

“Pengumuman tanpa sebarang perancangan terperinci akan menyusahkan semua pihak. Setakat ini, kawasan membimbangkan hanya di Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling.

“Selepas kenyataan dibuat hingga lewat malam tadi, penduduk bertanya garis panduan PKPB malah turut mempersoalkan keperluannya dikuat kuasa seluruh Selangor. Persoalan boleh dijawab sekiranya ADN diberikan pencerahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesal terhadap perkara itu, Jamaliah berkata kejadian ini berulang lagi selepas ia berlaku hampir sama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan Mac lalu.

“Sama juga ketika PKPB mukim Klang diisytiharkan minggu lalu. Pengumuman tanpa rundingan bersama Kerajaan Selangor hingga kekeliruan berlaku,” katanya.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB seluruh negeri ini serta Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula esok hingga 27 Oktober ekoran peningkatan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari akan menghantar cadangan balas kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan segera susulan beberapa kawasan masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor.


Pengarang :