EXCO Kerajaan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Dukung hasrat negeri, Dr Siti Mariah rangka program perkukuh perpaduan

SHAH ALAM, 9 OKT: Dr Siti Mariah Mahmud bersedia membalas kepercayaan Kerajaan Negeri dengan merangka program memperkukuh perpaduan di Selangor bersesuaian dengan nama portfolio baharu itu, Perpaduan.

“Pertambahan jawatankuasa ini saya anggap sebagai satu kepercayaan Dato’ Menteri Besar untuk melaksanakannya kerana ia pertama kali diwujudkan.

“Saya akan berbincang dengan semua pihak termasuk semasa pemukiman EXCO nanti untuk merencana program sesuai berkaitan perpaduan,” kata Ahli Dewan Negeri Seri Serdang ketika dihubungi.

Perpaduan adalah salah satu daripada lima portfolio baharu diwujudkan sejajar dengan keperluan semasa negeri diumumkan Dato’ Seri Amirudin Shari pada Rabu lalu susulan pelantikan dua EXCO baharu, Borhan Aman Shah dan Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada 17 September.

Berikutan itu, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga kini mengetuai jawatankuasa dikenali Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Siti Mariah berkata Selangor adalah sebuah negeri majmuk dan rencam malah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri memastikan keamanan serta kesejahteraan rakyat terjamin.

“Pemerkasaan perpaduan penting bagi mengekalkan keharmonian kerana pihak tidak bertanggungjawab sering membangkitkan sentimen perkauman dan agama dalam kalangan masyarakat,” katanya.


Pengarang :