BUDAYARENCANA

Panglima Awang dalam Mobile Legends

Oleh Mohd Haniff Yusoff

 

SAYA di sini, di penjuru susastera yang kita perjuangkan sekian lama. Lama sudah saya berdiam diri melihat kalian bergebang tentang Revolusi Industri keempat tetapi seharusnya kalian berhati-hati, jangan sampai membelakangkan jati diri.

Saudara,

Kesusasteraan meladeni kehidupan masyarakat Melayu sebegitu lama sebermula sastera rakyat sehinggalah sastera siber pada masa ini. Menyorot perkembangan prosa dalam dunia Melayu, Panglima Awang karya Harun Aminurrashid adalah antara naskhah yang tidak boleh dipinggirkan. Karya yang pernah mencetus fenomena masih diperkatakan biarpun menjangkau lebih beberapa dekad usia penerbitannya.

Saudara,

Katakanlah ketika saudara sedang asyik menggembleng emosi bermain Mobile Legends, tiba-tiba saudara terhumban ke satu masa bertarikh 10 Julai 1511. Mahukah saudara menterjemahkan kepahlawanan saudara pada ketika itu setelah menjadi adiwira dalam kecilnya skrin telefon pintar? Mahukah (mampukah) saudara menentang Feringgi mempertahankan Melaka, lantas menidakkan episod duka permulaan taklukan kuasa asing di laman sendiri berabad lamanya?

Pakatan Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman, Shaiful Bahri Md. Radzi, Khazin Mohd. Tamrin dan Yahaya Abu Bakar (2009) menerusi makalah ilmiah berjudul ‘Enrique Melaka @ Panglima Awang sebagai Magellan Melayu’ menyifatkan novel Panglima Awang mengetengahkan kualiti dan ketokohan seorang pengembara terkemuka Melayu bernama Panglima Awang.

Novel ini menyingkap kisah Panglima Awang yang gigih menentang Portugis selepas kejatuhan Melaka pada 1511. Keberaniannya menyerang kapal Portugis menjurus kepada peristiwa penangkapannya dan menjadi tawanan Portugis sesudah itu. Walau bagaimanapun, hubungan baik Panglima Awang dengan tuannya membawa kepada fragmen pelayarannya mengelilingi dunia, sekali gus menafikan Ferdinand Magellan sebagai insan pertama mengelilingi dunia – seperti terkandung dalam catatan-catatan sejarah yang tidak tulus lagi berat sebelah.

Naskhah ini masyhur dalam sejarah persuratan Melayu. Penulisnya, Harun Aminurrashid merupakan antara penulis novel berunsur sejarah terpenting ketika itu selain Ahmad Bakhtiar dan Abdul Samad Ahmad seperti dinyatakan Dharmawijaya (1987) dalam Intisari Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden. Novel Panglima Awang begitu mendapat sambutan sehingga novel-novel berunsur sejarah oleh Harun Aminurrashid yang lain seperti Wan Cantuk (1949), Anak Panglima Awang (1961), Tun Mandak (1963) dan Wang Derus (1965) tidak mampu menandingi kemasyhurannya.

Novel ini juga mencetus fenomena apabila turut mendapat sambutan hebat dalam kalangan pembaca. Menerusi Pencerekaan dalam Novel Sejarah, Mohamad Saleeh Rahamad (2005) mendedahkan: novel Panglima Awang mencatat rekod penjualan tinggi. Sehingga 1973, novel ini dicetak ulang sebanyak 13 kali. Naskhah ini turut dipilih sebagai teks sekolah dari 1965 sehingga 1966. Faktor permintaan luar biasa terhadap novel ini juga dikaitkan dengan laporan akhbar Inggeris dan Indonesia menyatakan orang pertama mengelilingi dunia ialah orang Melayu, menerusi tulisan Khalid Hussain (1972) berjudul ‘Harun Aminurrashid’.

Wacana patriotisme begitu dominan dalam mendasari pencerekaan Panglima Awang. Memaut pandangan Abdul Rahman Napiah (2000) dalam makalah berjudul ‘Konsep dan Semangat Patriotisme dalam Drama Moden,’ patriotisme dianggap saudara kembar kepada nasionalisme – gagasan satu usaha atau tindakan rakyat untuk membebaskan negara, kedaulatan dan memantapkan negara serta bangsanya.

Menerusi naskhah ini, Panglima Awang dilakarkan sebagai seorang pejuang yang tidak betah membiarkan tanah airnya dijarah Portugis; tanpa peduli nyawa mungkin akan melayang. Perihal ini dibuktikan berdasarkan cuplikan berikut;

“Aku tak mahu undur dari bumi Melaka ini. Biar aku berputih mata!” tingkah Panglima Awang dengan bernafsu. “Tapi kalau kamu tak sanggup lagi berjuang, silalah berundur dari sini! Bawalah untung nasib masing-masing! Tinggalkan aku sendiri mengadap Benggali Putih sampai nafasku yang penghabisan.” (hlm. 32)

Melalui Panglima Awang, pengarang menampilkan bahasa Melayu sebagai subjek dalam mengungkapkan pemikiran patriotisme. Biarpun bertahun-tahun mengembara dan mendiami negara asing, Panglima Awang masih mengungkap bicara dalam bahasa Melayu. Pengarang menggambarkan keteguhan jati diri Panglima Awang seperti dalam petikan berikut;

Enrique berdiri di tengah-tengah orang ramai yang kehairanan itu. Dia terus bercakap dalam bahasa Melayu untuk menyatakan hajatnya menghadap Raja Cebu. (hlm. 140)

Pengarang turut memperlihatkan perasaan dan ingatan Panglima Awang yang tidak pernah melupakan tanah air; yang dianggap mula-mula menumbuhkan kehidupan dan cinta. Walaupun berpergian jauh, Panglima Awang tidak pernah melupakan Melaka dan orang-orang Melaka – terutama tunangannya, Tun Gayah. Gambaran ‘tidak melupakan negara sendiri’ dapat dikesan dalam kutipan berikut;

Sejak itu, hati Enrique tidak tenang. Dia segera teringat Tun Gayah, tunangnya, yang ditinggalkannya di Melaka. Entah bagaimana kisahnya sekarang. Bergeloralah hatinya, rindu akan kampung halamannya, tanah Melaka yang malang itu. (hlm. 83)

Menelusuri teks Panglima Awang, pengarang menyerlahkan sikap patriotisme watak utamanya yang tetap berpendirian hendak pulang ke tanah air setelah lama ditinggalkan. Walaupun dipelawa Raja Hamabun untuk menetap di Cebu kerana menyelamatkannya daripada dibunuh orang Sepanyol, Panglima Awang tetap mahu pulang ke Melaka untuk menyiasat sendiri keadaan di sana dan menunaikan tanggungjawab sebagai anak Melayu yang taat kepada raja. Pelukisan watak patriotik tersebut dipaparkan sedemikian;

“Apa salahnya panglima menetap di sini? Tanya Raja Hamabun.

“Patik nak menyiasat sendiri keadaan di Melaka, Tuanku. Lagipun tiada khabar yang patik dengar mengenai Sultan Melaka dan orang-orang besarnya yang berundur ke Johor.”

Raja Hamabun terdiam.

“Sebagai anak Melayu yang taat setianya tak berbelah bagi kepada raja, patik terpaksa mencari baginda yang berada dalam kesusahan. Kewajipan patik menyerahkan seluruh jiwa raga untuk membela baginda seberapa yang terdapat,” kata Panglima Awang dengan bersungguh-sungguh. (hlm. 165)

Panglima Awang mengetengahkan naratif dengan mengangkat ketokohan unggul seorang pemuda berbangsa Melayu yang mengelilingi dunia, lantas menjadi pemangkin naskhah ini menjadi buruan serta mendapat perhatian dalam kalangan pembaca. Selain itu, naskhah ini ditunjangi unsur patriotisme dari pelbagai perspektif yang digabung jalin pengarang menerusi keupayaan kepengarangan dan kreativiti pengarang.

Saudara,

Saya masih di sini, di satu sudut yang selalu kita raikan. Saya terfikir, bagaimana jika selepas ini, kita bermain Mobile Legends dengan menyisipkan roh patriotisme seperti seorang pejuang laksana Panglima Awang?

 

 


Pengarang :