Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) berpakaian sut PPE melakukan pemeriksaan bagi memastikan setiap penghuni menjalani saringan Covid-19 susulan pelaksanaan PKPD berkuat kuasa 28 Oktober di Plaza Hentian Kajang ketika tinjauan pada 1 November 2020. Foto Bernama
BERITA UTAMASELANGOR

PKPD Hentian Kajang: 2,622 penduduk selesai jalani saringan

SHAH ALAM, 23 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian Kajang yang bakal berakhir esok menyaksikan 2,622 penduduk menjalani saringan Covid-19.

Pegawai Daerah Hulu Langat berkata kesemua mereka selesai disaring pada hari keenam PKPD dikuatkuasakan dengan 13 peratus daripadanya positif wabak berdasarkan saringan pertama.

“Kita juga membuat saringan bersasar terhadap kontak rapat dan individu bergejala. Didapati 24 peratus daripada mereka dijangkiti Covid-19,” kata Najmuddin Jemain ketika dihubungi.

Najmuddin berkata pihak kesihatan sentiasa melakukan saringan terhadap kontak rapat apabila terdapat penduduk di kawasan itu didapati positif.

Plaza Hentian Kajang, Hulu Langat dikenakan PKPD susulan kes pandemik yang mendadak. PKPD itu bermula 28 Oktober hingga 10 November dan dilanjutkan lagi sehingga esok (24 November).

Semalam data Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menunjukkan mukim Kajang mencatatkan pertambahan 32 kes baharu Covid-19 dengan satu daripadanya saringan kontak Hentian Kajang.

Kuala Langat turut mencatatkan satu kes daripada Kluster Hentian melalui saringan pekerja di mukim Tanjung Dua Belas.


Pengarang :